Saturday

Fenomena Sun Dog

Matahari adalah objek tunggal yang membekalkan cahaya kepada bumi. Namun, pada masa-masa tertentu, matahari tidak lagi bersendirian, sebaliknya kelihatan dua atau tiga lagi cahaya berada berhampiran dengannya – seolah-olah kembar kepada matahari. Apakah cahaya tersebut?

Sejak berkurun-kurun lamanya, manusia sudah pun membincangkan perihal mengenai fenomena matahari kembar ini. Seawal tahun 372 SM lagi, seorang ahli falsafah Greece bernama Aristotle telah menyatakan bahawa terdapat dua matahari tiruan telah terbit bersama matahari induk. Tetapi ia hilang apabila matahari berada tegak di atas kepala.

Kemudian, pada tahun 50 SM, seorang lagi penulis dari Yunani yang bernama Tubero turut menyatakan tentang fenomena matahari berganda ini serta menggelarnya sebagai Sun Dog. Bagaimanapun, pada ketika itu, manusia masih tidak mengetahui sama ada ia berlaku di luar angkasa ataupun di dalam ruang atmosfera bumi.

Di seluruh belahan dunia juga, turut berlegar pelbagai mitos dan anggapan yang dikaitkan dengan fenomena matahari kembar ini. Pada tahun 891 misalnya, seorang penyair dari Greece, Aratus telah menyatakan bahawa fenomena matahari kembar itu adalah petanda hujan badai yang akan melanda sesuatu tempat. 

Dalam peperangan Roses yang berlaku di Herefordshire, Inggeris pada 1461, dikatakan tiga matahari muncul sebelum peperangan tersebut berlangsung. Komander tentera Yorkist, Edward IV yakin kemunculan tiga matahari tersebut telah membawa tuah kepada pasukan ketenteraannya dan mereka akhirnya berjaya mengalahkan tentera musuh.

Manakala pada 20 April 1535 menyaksikan langit di ibu kota Stockholm, Sweden telah dipenuhi dengan tiga matahari ‘tambahan’ yang mengelilingi matahari utama. Pendeta Laurentius Andreae yang secara kebetulan menyaksikan fenomena tersebut telah meminta seorang pelukis untuk mendokumentasikan fenomena itu ke dalam bentuk lukisan untuk dibawa menghadap raja. Namun, Raja Gustav Vasa sebagai pemerintah ketika itu telah murka dan menganggap ia adalah satu penipuan. Baginda telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Laurentius.

Mitos dan kepercayaan karut mengenai fenomena itu bagaimanapun semakin beransur hilang apabila peredaran zaman berlaku. Namun, gelaran Sun Dog masih lagi kekal dan diguna pakai sebagai istilah sehingga kini.

Jika melihat kepada foto-foto yang berjaya dirakamkan di seluruh dunia, anda akan mengerti mengapa fenomena ini disebut sebagai Sun Dog. Ianya sudah pasti disebabkan oleh matahari tambahan itu terlihat seperti seekor anjing yang setia di sebelah tuannya, sang matahari.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat, Jabatan Meteorologi Malaysia, Ramlan AB. Rahman, selain daripada Sun Dog, ia turut dikenali dengan nama Parhelion ataupun fenomena matahari kembar. Ia adalah satu fenomena yang berlaku di dalam atmosfera, bukan di luar angkasa.

Apabila fenomena tersebut berlaku, terdapat kumpulan cahaya tambahan di kedua-dua sisi matahari. Sehinggakan, kedua cahaya ini kelihatan bulat dan membuatkan kita berfikir adakah ia adalah matahari tambahan.

Ia terjadi disebabkan oleh cahaya matahari telah dibengkokkan oleh kristal ais berbentuk heksagon yang berada di langit dengan sudut minimum 22 darjah. Proses ini boleh disamakan dengan pembentukan pelangi yang mana cahaya matahari terbias oleh titisan air di yang terdapat di atmosfera.

Jelasnya, fenomena ini boleh berlaku di mana sahaja. Tetapi, ia akan lebih mudah terlihat ketika matahari berada pada posisi yang lebih rendah – sama ada ketika terbit atau terbenam.

Apabila matahari semakin meninggi, cahaya matahari akan bergeser dari sudut 22 darjah tersebut. Disebabkan itu, Sun Dog tidak akan kelihatan apabila hari semakin terik. Namun, sekiranya kristal ais tersebut masih wujud di atmosfera, matahari tambahan akan kembali muncul pada waktu petang.

Umumnya, Sun Dog berwarna merah jika ia berada dekat dengan matahari. Bagaimanapun, warnanya akan berubah kebiruan apabila kedudukannya semakin jauh.


No comments:

Post a Comment

ヅ komen anda amat dialu-alukan
๏̯͡๏ tak puas hati sila komen
(>‿♥) jika terdapat kesalahan,sila tegur
''◠‿◠)Sekian,terima kasih

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...