Saturday
Bintang X-ray Sains&Al-Quran
Astronomi moden menganggarkan terdapat kira-kira 70 sekstiliun (7x1022 atau 70 000 000 000 000 000 000 000) bintang di alam semesta ini, iaitu 230 juta kali lebih banyak daripada jumlah bintang dalam galaksi Bimasakti. Daripada jumlah itu, hampir separuh daripadanya adalah bintang mati.
Sejarah membuktikan bahawa bintang merupakan satu elemen penting yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Bintang-bintang di langit telah menjadi sebahagian daripada kebudayaan manusia, dipraktikkan dalam konteks keagamaan, serta suatu ketika dahulu bintang turut menjadi pemandu arah dalam pelayaran. Bahkan, kalendar Gregorian yang digunakan di hampir seluruh bahagian dunia, didasarkan kepada posisi relatif bumi terhadap bintang terdekat – matahari.
Kajian terhadap bintang telah dilakukan oleh manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu. Pada kurun ke-16, seorang ahli astronomi Giordano Bruno, telah mengusulkan bahawa bintang sebenarnya adalah matahari-matahari lain, yang berkemungkinan memiliki planet-planet seperti bumi di dalam orbitnya. Teori tersebut telah mendapat persetujuan oleh ahli astronomi seluruh dunia beberapa tahun berikutnya dan ia kekal sehingga kini.
Secara saintifiknya, bintang merupakan bebola jisim yang terbentuk disebabkan tarikan graviti mereka sendiri. Cahaya bintang terhasil daripada tindak balas sebatian nuklear di bahagian teras, yang mana unsur hidrogen adalah sumber bahan bakar utama. Pembakaran ini membebaskan helium, haba dan cahaya – kerlipan bintang yang dapat dilihat pada waktu malam.
Setiap butir bintang akan mengakhiri tempoh hayatnya apabila reaksi nuklear di bahagian teras tidak lagi berlaku. Dengan kata lain, kandungan hidrogen sesuatu bintang sudah kehabisan. Bintang akan mati dalam satu proses yang dipanggil supernova dengan semua jirim yang membentuknya akan tertarik oleh tekanan graviti dan menjadi lohong hitam.
Ia akan menyedut apa sahaja objek yang berdekatan. Hatta, cahaya yang tidak mempunyai jisim sekalipun tidak mampu melepaskan diri dari sedutan lohong hitam ini. Dan, apabila ia menyedut cahaya, bintang itu kelihatan bersinar dalam kadar yang malap – seperti sinar x-ray yang kelihatan pada jasadnya dalam jangka masa tertentu.
Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd Arip Kasmo, teori lohong hitam sebenarnya telah dikemukakan oleh pakar geologi Inggeris, John Michell pada tahun 1783. Tetapi ia hanya berjaya dibuktikan pada abad ke-21. Bagaimanapun, Allah terlebih dahulu menerangkan perihal ini secara kiasan dalam surah At-Tariq, ayat 1 hingga 3. Firman Allah yang bermaksud;
“Demi langit dan demi yang muncul di waktu malam. Tahukah engkau apakah yang muncul diwaktu malam itu? Itulah bintang terang yang cahayanya menembusi...” (Surah At-Tariq; ayat 1-3).
Profesor Madya Dr. Mohd Arip Kasmo |
Jelas Dr. Arip, ayat ini mempunyai dua tafsiran yang berbeza. Ulama zaman dahulu mengandaikan ayat tersebut adalah cahaya bintang yang menembusi kegelapan malam. Namun, dalam konteks moden, ia juga boleh ditafsirkan sebagai teori lohong hitam.
Sebutir bintang, kata Dr. Arip, tidak lagi berkelip apabila sumber bahan bakarnya sudah kehabisan. Apabila tidak berlaku sebarang reaksi, tekanan di bahagian terasnya menjadi rendah dan menyebabkan bintang menjadi kemput – lembik. Tekanan yang rendah akan menyebabkan tarikan graviti sebutir bintang mati akan menjadi tinggi sehingga mengakibatkan bintang itu berlekuk dan berlubang di bahagian tengah – seperti donat.
Graviti yang kuat ini akan menyedut semua objek di sekitarnya termasuk cahaya. Semasa ia menyedut cahaya inilah, sinarnya masih dapat dilihat melalui jasad bintang mati itu sebelum ia lenyap secara total.
Dalam satu ayat yang lain pula, Allah turut menggambarkan kepada kita bagaimana suatu hari nanti matahari juga turut akan mencapai penghujung hayatnya. Firman Allah dalam surah At-Taqwir yang bermaksud;
“Dan matahari semasa ia digulungkan (kuwwirat)...” (Surah At-Taqwir; ayat 1).
Jelas Dr. Arip, perkataan yang penting di sini ialah ‘kuwwirat’. Abdullah bin Abbas mentafsirkannya sebagai ‘pergi’ atau ‘menghilang’. Manakala imam Nasafi pula menyebut perkataan ini sebagai ‘hilang cahayanya’. Ayat ini menjelaskan, matahari apabila berada di penghujung hayat akan kehilangan cahayanya.
Kestabilan matahari, seperti bintang-bintang lain, bergantung pada tenaga yang mampu dihasilkan olehnya. Selepas berbilion tahun, proses ini akan terhenti dan menyebabkan suhu matahari menurun serta cahayanya akan menjadi pudar.
Kata Dr. Arip, keadaan ini selari dengan tafsiran imam Nasafi berhubung perkataan ‘kuwwirat’ dalam ayat Al-Quran yang disebutkan. Akhirnya, bahagian luar matahari bertukar menjadi gumpalan gas yang berbentuk asap dan terpisah dari terasnya. Dengan itu, tamatlah riwayat hidup si matahari.
No comments:
Post a Comment
ヅ komen anda amat dialu-alukan
๏̯͡๏ tak puas hati sila komen
(>‿♥) jika terdapat kesalahan,sila tegur
''◠‿◠)Sekian,terima kasih