Saturday
Teknik bangun Tidur Zaman Dulu Kala
CARA paling biasa digunakan oleh masyarakat sekarang untuk bangun tidur adalah dengan set jam loceng. Tepat pada masanya, kita akan dikejutkan. Mudah bukan. Tapi, pernahkah anda terfikir, sebelum jam loceng dicipta bagaimana orang dahulu kala bangun tidur untuk pergi bekerja?
Berdasarkan catatan sejarah, jam penggera pertama dicipta pada tahun 1787 dan dipatenkan pada tahun 1847. Ketika itu, jam penggera ini hanya dimiliki oleh golongan kaya saja kerana harganya cukup mahal dan tidak mampu dimiliki oleh golongan pekerja. Meskipun begitu, golongan pekerja masih boleh bangun seperti yang dikehendaki walaupun tanpa khidmat jam penggera.
Bagaimanakah caranya?
Ketika awal Revolusi Industri iaitu kira-kira pada tahun 1760 hingga 1830, penduduk di bandar-bandar besar seperti Ireland, Manchester dan England akan mengupah pengetuk tingkap untuk membangunkan mereka daripada tidur.
Tukang ketuk tingkap merupakan satu bidang kerja yang berperanan membangunkan orang dari tidur supaya dapat bekerja tepat pada masanya. Pekerjaan ini sangat popular sehingga akhir tahun 1920-an.
Kaedah biasa yang digunakan oleh tukang ketuk tingkap ialah dengan mengetuk setiap tingkap pelanggan. Untuk mencapai tingkap pelanggan yang kedudukannya lebih tinggi, tukang ketuk ini akan menggunakan kayu atau buluh panjang. Tukang ketuk hanya akan meninggalkan tingkap selepas mereka yakin pelanggan telah terjaga daripada tidur.
Sebagai imbalannya, mereka dibayar upah sebanyak beberapa sen seminggu. Bayaran itu cukup lumayan pada waktu dulu. Tapi, soalnya kini, siapa pula yang akan membangunkan si pengetuk tingkap ini agar mereka dapat menunaikan tugas mengejutkan pelanggan-pelanggannya daripada tidur? Bagaimana pula dengan mereka yang tidak menggunakan khidmat berbayar ini untuk bangun mengikut masa yang dikehendaki?
Sebenarnya terlalu banyak jawapan yang memungkinkan cara orang dahulu bangun daripada tidur tepat pada waktunya. Salah satunya adalah melalui jam biologi. Sekitar abad ke-18 sehingga awal abad ke-19, bekalan elektrik masih belum ada. Masyarakat waktu itu cuma bergantung pada cahaya lilin dan lampu minyak.
Oleh kerana pergerakan terbatas pada waktu malam, kebanyakan mereka ketika itu lebih selesa masuk tidur awal. Keadaan itu menyebabkan mereka terjaga sebelum matahari terbit. Secara biologi, apabila waktu tidur teratur, tubuh lama-kelamaan dapat menyesuaikan diri dan secara automatik dapat bangun pada waktu yang diinginkan.
Mungkin ramai yang lupa bahawa kita memiliki jam tubuh atau jam biologi. Ia berfungsi mengatur apa yang harus dilakukan pada tubuh secara alamiah. Jam biologi ini dapat bekerja kerana adanya Superachiasmatic Nuclei (SCN). Jadi, tidak hairanlah jika ada yang mendakwa boleh bangun pada waktu yang tepat seperti yang dimahukan tanpa bantuan jam penggera.
Sayangnya, bukan semua dapat mempraktikkan kelebihan itu. Jadi, sebelum jam loceng mampu dimiliki oleh setiap orang, masyarakat dahulu banyak bergantung pada laungan azan, dentingan loceng gereja dan suara alam seperti kokokan ayam, kicauan burung sebagai jam loceng.
Namun sekitar abad ke-20, penduduk asli Amerika mengamalkan petua yang agak unik untuk mudah bangun pagi. Caranya, sebelum masuk tidur pada waktu malam, mereka akan minum air dengan banyak. Cara ini cukup berkesan membuatkan mereka terjaga di tengah malam untuk buang air kecil dan kemudian bolehlah mereka keluar memburu. Teknik minum secara berlebihan pada waktu malam ini masih dipraktikkan sampai ke hari ini kerana ia cukup berkesan.
Lebih ekstrem, ada pula yang menyalakan lilin dan meletakkannya di atas perut ketika tidur. Apabila lilin mencair dan membakar kulit, mereka akan terbangun dengan sendirinya.
Pada awal era Revolusi Industri, kebanyakan pekerja kilang lebih gemar tinggal di sekitar kawasan kilang tempat mereka bekerja. Ini kerana, setiap pagi kilang akan memasang bunyi wisel yang sangat kuat. Dorongan bunyi tersebut membantu mereka terjaga dan dapat bekerja tepat pada masanya.
Bagi penduduk yang jauh dari kawasan industri, bunyi wisel sudah tentu tidak akan kedengaran. Justeru, penduduk di luar kawasan akan menggunakan kaedah lain bagi membantu mereka terjaga daripada lena yang panjang. Para petani misalnya, membina bahagian hadapan rumah dengan menghadap ke arah timur.
Konsep binaan seperti ini membolehkan matahari yang terbit pada waktu pagi dapat menyelinap masuk ke dalam bilik tidur. Cahaya matahari yang menyilau inilah dijadikan sebagai jam penggera untuk bangun pagi.
teknik kala air
teknik kala air
No comments:
Post a Comment
ヅ komen anda amat dialu-alukan
๏̯͡๏ tak puas hati sila komen
(>‿♥) jika terdapat kesalahan,sila tegur
''◠‿◠)Sekian,terima kasih