Saturday
Peristiwa bulan berdarah
Dalam tempoh beberapa tahun sekali, satu fenomena gerhana bulan yang aneh akan berlaku, di mana bulan akan bertukar warna menjadi kemerah-merahan. Fenomena ini disebut sebagai peristiwa bulan berdarah.
Suatu ketika dahulu, sebelum bidang kajian astronomi berkembang sebagai ilmu, orang-orang di zaman kuno menganggap peristiwa bulan gerhana sebagai satu petanda mala petaka yang bakal menimpa. Polemik tersebut menjadi kepercayaan kebanyakan masyarakat di serata dunia, terutamanya di sekitar benua Amerika Selatan dan Afrika. Dalam satu sisi yang lain, gerhana bulan berdarah pula dianggap sebagai kemuncak mala petaka yang akan melanda.
Mengikut catatan sejarah, fenomena bulan berdarah ini pernah terjadi ketika Christopher Columbus melakukan penjelajahan ke wilayah Timur iaitu dalam misinya mencari ‘dunia baru’. Dalam pelayaran terakhirnya iaitu selepas meninggalkan Sepanyol, kapal Columbus dikatakan telah mengalami masalah teknikal dan menyebabkan beliau terpaksa berlabuh di perairan utara Jamaica pada 22 Jun 1503.
Kedatangan Columbus dan anak-anak kapalnya disambut baik oleh masyarakat peribumi di kawasan tersebut. Mereka bukan sekadar diberi layanan mesra, tetapi turut disediakan tempat tinggal dan juga dibekalkan dengan sumber makanan.
Ketika tempoh terdampar itu, Columbus telah mempelajari selok-belok astronomi melalui sebuah buku yang dibawanya. Buku itu ditulis oleh Regiomontanus, iaitu seorang ahli matematik dan astronomi kelahiran Jerman. Ia mengandungi maklumat terperinci mengenai peristiwa astronomi yang berlaku di antara tahun 1475 hingga 1506. Melalui buku itulah Columbus mengetahui bahawa peristiwa bulan berdarah akan berlaku pada 21 Disember 1503.
Selepas hampir enam bulan terdampar di kepulauan itu, tercetus satu perselisihan faham di antara kedua-dua pihak. Bagi mengelakkan perkara itu berlarutan, Columbus telah bertemu dengan ketua puak orang asli itu untuk berdamai. Dalam pertemuan itu beliau telah menyatakan bulan akan muncul dengan wajah yang ‘berdarah’ sebagai tanda kemurkaan Tuhan sekiranya perselisihan faham tersebut terus berlanjutan.
Bimbang dengan ‘kemurkaan’ itu, satu perjanjian telah termeterai dan puak peribumi Jamaica telah bersetuju untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Columbus. Sehinggalah pada 29 Jun 1504, Columbus telah menyambung kembali pelayarannya selepas kapalnya siap diperbaiki.
Selain Columbus, fenomena bulan berdarah ini juga turut dikaitkan dengan peristiwa kejatuhan kerajaan Parsi ke tangan Alexander the Great. Parsi yang ketika itu diperintah oleh King Darius III telah tewas dalam peperangan Gaugamela yang berlaku pada tahun 331 SM. Beberapa hari sebelum pertempuran tersebut berlangsung, fenomena bulan berdarah dilaporkan berlaku, dan ia dianggap sebagai petanda malang untuk kerajaan Parsi.
Secara saintifiknya, gerhana bulan terjadi apabila kedudukan matahari, bumi dan bulan berada dalam satu garis lurus. Lazimnya, bulan akan hilang seketika daripada pandangan kita pada waktu gerhana kerana cahaya matahari terlindung oleh bumi. Namun, perkara sebaliknya berlaku semasa fenomena gerhana bulan ‘berdarah’. Bulan tidak hilang dari pandangan, sebaliknya ia tetap kelihatan, tetapi dengan warna yang kemerah-merahan.
Profesor Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali |
Menurut Pengarah Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, fenomena ini terjadi disebabkan pembiasan cahaya oleh atmosfera bumi. Ia hanya berlaku apabila terjadinya gerhana bulan penuh pada waktu solstis musim sejuk iaitu kedudukan matahari berada paling jauh ke selatan atau ke utara dari khatulistiwa. Biasanya berlaku pada 21 Disember setiap tahun.
Gerhana ini berlaku bertepatan dengan titik balik matahari, di mana titik balik matahari pada 21 Disember adalah hari terpendek dalam setahun di hemisfera utara. Di bahagian ini disebut sebagai solstis musim sejuk, manakala di hemisfera selatan pula ialah solstis musim panas yang mana berlaku pada tarikh 21 Jun setiap tahun.
Pada kedudukan ini, sinar yang dilepaskan oleh matahari kebanyakannya berspektrum merah. Justeru, ia akan mengakibatkan bulan kelihatan berwarna lebih gelap, merah, jingga atau coklat. Selain itu, warna bulan ketika fenomena ini berlangsung turut dipengaruhi oleh debu vulkanik yang dilepaskan gunung berapi ke ruang atmosfera bumi.
Jelas Dr. Alauddin lagi, gerhana bulan yang berlaku pada 21 Disember memakan masa yang agak panjang. Bulan akan tertutup oleh bayangan bumi dianggarkan lebih kurang 72 minit. Keadaan ini akan menyebabkan bulan 10,000 hingga 100,000 lebih kabur, seterusnya akan membuatkan banyak bintang redup dan Bimasakti dilihat lebih bersinar.
Kali terakhir fenomena bulan berdarah ini berlaku ialah pada 21 Disember 2010 yang dapat dilihat secara total di rantau Amerika Utara, Pulau Greenland dan Iceland. Di setiap lokasi yang sama, fenomena ini berlaku dalam jangka masa hampir 400 tahun sekali.
Sebelum tahun 2010, gerhana bulan total yang bertepatan dengan titik balik matahari pernah berlaku pada 21 Disember 1980 dan 21 Disember 1999. Selepas ini, fenomena yang sama akan berulang di benua Asia pada 21 Disember 2094, iaitu dalam tempoh 84 tahun dari sekarang.
peristiwa 21 disember 2012
peristiwa 21 disember 2012
No comments:
Post a Comment
ヅ komen anda amat dialu-alukan
๏̯͡๏ tak puas hati sila komen
(>‿♥) jika terdapat kesalahan,sila tegur
''◠‿◠)Sekian,terima kasih