Saturday

Tukang kentut profesional

MELEPASKAN angin atau kentut baik sengaja atau tidak, satu perbuatan yang tidak mendapat tempat terhormat dalam masyarakat dunia walau di ceruk mana sekalipun. Ini kerana, budaya kita terutamanya menganggap kentut sembarangan itu adalah perlakuan tidak sopan. Namun, tahukah anda bahawa perkara memalukan ini telah dijadikan satu kerjaya popular dan lumayan oleh sesetengah orang.

Soalnya, betulkah kentut boleh menjadi satu karier? Walaupun bunyinya agak dan tidak masuk akal, namun sejarah mencatatkan bahawa Joseph Pujol adalah individu pertama di dunia yang menjadi perintis kepada pekerjaan ini. Lelaki ini telah memulakan kerjayanya sebagai tukang kentut atau ‘flatus’ pada tahun 1887, ketika di usia 30 tahun.

Awalnya, dia cuma mencuba nasib sebagai ‘flatus’ di tempat kelahirannya di Marseille, Perancis. Percubaannya itu bagaimanapun tidak sia-sia kerana mendapat sambutan yang di luar dugaan. Kerana yakin bakatnya diterima ramai, Pujol memutuskan untuk berhijrah ke Paris. Nasib menyebelahinya, dia diberi peluang untuk mengadakan persembahan pentas pertamanya di sebuah kelab teater di sana.

Tampil berpakaian kemas dengan baju berwarna merah, berseluar hitam dan bersarung tangan putih, bekas pengusaha kedai roti ini bersiap sedia untuk menghiburkan orang ramai. Tapi sebelum itu, dia awal-awal lagi memberitahu penonton agar bertenang kerana angin yang bakal dilepaskannya nanti sama sekali tidak berbau sepertimana kentut biasa.

Oleh kerana pertunjukannya adalah sesuatu yang baru pada masa itu, ramai penonton benar-benar tidak bersedia dengan apa yang bakal mereka lihat sebentar lagi. Pujol bagaimanapun tidak mengendahkan semua itu. Dia mengambil tempat dan memulakan persembahannya. Saat itu, bergemalah pelbagai bunyian unik dari arah belakang Pujol.

Menarik sekali, kentut lelaki ini mampu menghasilkan pelbagai suara binatang seperti kicauan burung, kesan bunyi ledakan bom, meriam, petir, suara garau manusia, bunyi mesin jahit, bahkan boleh memainkan beberapa lagu-lagu popular dan irama merdu seruling. Paling luar biasa, angin kentut itu boleh meniup lilin yang jaraknya beberapa meter!

Pada awalnya, orang ramai terlopong dan terkejut kerana tidak menduga menonton aksi aneh sedemikian. Namun di pertengahan pertunjukan, perasaan pelik itu tiba-tiba berubah menjadi suatu yang menghiburkan. Orang ramai semakin tidak dapat menahan ketawa lantaran mendengarkan ledakan kentut Pujol. Sampaikan ada yang terkeluar air mata gara-gara berasa geli hati dengan bunyi kentut tersebut.

Malangnya, kerana terlalu banyak ketawa, ramai penonton mengalami kesesakan nafas. Beberapa wanita yang memakai korset ketat pula dilaporkan terpaksa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana tidak boleh bernafas gara-gara ketawa berlebihan. Sekali lagi, pertunjukan pencinta muzik ini berjaya meraih tumpuan ramai.

Sejak itu, Pujol menjadi terkenal dan popular. Dia juga mendapat bayaran paling tinggi di Perancis untuk kategori pertunjukan pentas pada masa itu. Kejayaan ini membuatkan ramai ingin tahu bagaimana dia mengeluarkan kentut sekuat itu dengan irama yang pelbagai.

Menurut Pujol, semuanya bermula ketika dia baru saja tamat persekolahan. Pada satu hari,ketika dia sedang mandi-manda di laut sambil menahan nafas untuk menyelam, tiba-tiba dia berasa ‘sesuatu’ yang sejuk memasuki rongga duburnya. Dia panik dan terus berlari ke darat. Seketika kemudian, dia mendapati banyak air keluar daripada bahagian anusnya. Anak sulung daripada lima orang adik beradik berasa pelik kerana keadaannya tidak serupa orang lain. Persoalan yang membuatkannya terpinga-pinga adalah bagaimana air laut boleh memasuki rongga sulit itu? 

Apabila satu kajian perubatan dijalankan ke atas Pujol, doktor pakar mengesahkan bahawa tukang kentut ini memiliki keunikan fisiologi yang tidak terdapat pada orang lain. Ususnya mampu ‘menghirup’ atau memindahkan udara ke dalam rektum dan kemudian mengawal pelepasan udara melalui otot-otot anusnya.

Pada tahun 1895, lelaki yang juga dikenali sebagai ‘Le Petomane’ ini terpaksa berpisah dengan pengurus kelab teater tempatnya mengadakan persembahan kerana melanggar kontrak iaitu kentut sembarangan di tempat awam. Semenjak itu, lelaki Perancis ini kembali ke negaranya dan mengusahakan semula kedai roti milikinya.

Kini, bakat profesional Pujol diteruskan oleh seorang lelaki kelahiran Macclesfield, Cheshire,  United Kingdom, Paul Oldfield atau nama glamornya, ‘Mr Methane’. Ditanya sejak bila mengetahui mempunyai kelebihan luar biasa seperti Pujol, jejaka ini memberitahu bahawa dia mula menyedari hal aneh itu sewaktu berlatih yoga ketika usianya 15 tahun. Dia mula menjadi flatus profesional pada tahun 1991.

Di atas pentas, gayanya tidak ubah seperti seorang super hero. Sering mengenakan kostum ketat berwarna hijau terang, memakai jubah dan topeng berwarna ungu. Namun, misinya hanya satu iaitu menghiburkan orang ramai dengan bunyi-bunyian kentutnya, selain menyumpit dan memecahkan belon menggunakan angin yang dilepaskan menerusi bahagian duburnya.


FAKTA RINGKAS

·         Kentut dalam bahasa perubatan disebut sebagai flatus.
·         Flatus adalah gas atau udara dalam saluran cerna yang dikeluarkan melalui anus.
·         Gas atau udara boleh ditemukan di usus besar dan usus kecil.
·         Jumlah gas yang masuk atau terhasil di usus besar setiap hari rata-rata dalam kuantiti tujuh hingga sepuluh liter. Sedangkan jumlah gas yang dikeluarkan biasanya hanya sekitar 0.6 liter. Selebihnya diserap oleh mukosa usus.


No comments:

Post a Comment

ヅ komen anda amat dialu-alukan
๏̯͡๏ tak puas hati sila komen
(>‿♥) jika terdapat kesalahan,sila tegur
''◠‿◠)Sekian,terima kasih

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...