Saturday

Gunung ais menyanyi

RAMAI orang suka menyanyi. Haiwan seperti burung juga gemar berkicau sehingga kedengaran seolah-olah bernyanyi. Tapi, apakah alam ini turut berkebolehan melontarkan alunan suara nyanyiannya? Amat mengejutkan, hal aneh ini telah berjaya dirakam tanpa sengaja oleh sekumpulan saintis dari Alfred Wegener Institut for Polar & Marine Research, Jerman.

Semuanya bermula pada bulan Julai dan November tahun 2002, ketika para ilmuwan dari institut berkenaan menjalankan penelitian ke atas gerakan Bumi di Antartika. Saat tekun merakam bunyi seismos untuk mengukur gempa bumi dan gerakan tektonik pada lempeng ais di pesisir Atlantik, Selatan Antartika, tiba-tiba mereka terdengar signal akustik berfrekuensi sekitar 0.5 hertz.

Bunyi aneh itu terlalu rendah untuk didengar oleh manusia. Namun, jika hal menganehkan itu dimainkan pada kelajuan lebih tinggi, maka akan muncullah suara seperti dengungan lebah. Malah, ada ketikanya melodi itu seperti sebuah orkestra - umpama alat muzik biola dimainkan secara serentak seperti burung bersenandung.

Tapi, bunyi apakah itu? ‘Siapa’ sebenarnya yang mengalunkannya dan dari mana datangnya suara ganjil itu? Adalah mustahil jika suara itu milik seseorang kerana Antartika merupakan dataran yang tidak berpenghuni! Lalu jika ia bukan suara manusia, siapa sebenarnya pencetus irama itu? Hal ini benar-benar membingungkan para saintis.

Untuk tidak terus berteka-teki, para ilmuwan ini membuat keputusan untuk mengesan punca suara misteri itu. Menurut seorang saintis Fielax, sebuah syarikat Jerman yang bekerjasama dengan Alfred Wegener Institut for Polar & Marine Research, Christian Muller, awalnya mereka tidak ada penjelasan mengenai fenomena pelik tersebut.

Mereka hanya menduga kemungkinan bunyi itu berpunca dari masalah teknikal. Ada kemungkinan juga bunyi tersebut datangnya dari pergerakan kerak bumi. Tapi setelah dijejaki pencetus irama itu, ternyata andaian mereka silap. Saintis mendapati rupa-rupanya semua itu bukan disebabkan oleh masalah lain, tetapi terhasil dari gelombang suara yang berasal dari gunung ais.

Soalnya kini, bolehkah gunung-ganang bersenandung? Jika hal ini dapat dibuktikan benar, maka penemuan ini menjadi satu lagi pendedahan tentang perkara aneh berhubung karakter alam semesta yang kita tidak ketahui.

Bagaimanapun, hasil analisa menunjukkan gelombang suara dari gunung ais itu bukanlah terhasil dengan sendirinya atau disebabkan kuasa ghaib. Sebaliknya, para saintis sepakat bahawa suara yang agak menakutkan itu digerakkan oleh aliran air yang mengalir dicelah-celah dinding dan terowong gunung ais pada tekanan yang sangat tinggi.

Perubahan tekanan arus air yang mengalir menyebabkan terhasilnya getaran dan nada turun naik seperti sebuah lagu. Dan muzik itulah sebetulnya yang berjaya dirakam oleh saintis Alfred Wegener Institut for Polar & Marine Research.

Para saintis kemudian cuba mengeksploitasi fenomena itu untuk kegunaan dalam bidang lain. Akhirnya, penemuan gunung ais bernyanyi bersaiz 30 kilometer hingga 50 kilometer itu membuka ruang untuk kajian sampingan lain.

Paling penting, ia dapat membantu para saintis untuk lebih memahami tentang letupan gunung berapi, gempa bumi dan plat tektonik. Ini kerana rakaman getaran gunung ais yang berjaya ditangkap itu sangat mirip dengan getaran atau gegaran gunung berapi.

FAKTA RINGKAS

·         Antartika adalah benua bumi selatan di Kutub Selatan. Dianggap sebagai daratan benua  atau gurun.

·         Sepanjang sejarah, Antartika direkodkan tidak pernah dikuasai oleh siapapun, bahkan tidak ada penduduk asli di sana.

·         Antartika adalah tempat terbaik untuk menemukan meteor. Pasukan saintis Jepun dilaporkan telah menemukan tahi bintang pertama di sini. Menurut para ilmuwan,  meteor yang pernah ditemukan di sini mengandungi bahan kimia organik dan fosil dari  planet Marikh. Malah diyakini setiap meteor tersebut berisi jejak penting daripada kehidupan di Marikh.

·         90 peratus ais dan sekitar 80 peratus air segar di dunia tersimpan dan terkunci di lapisan ais Antartika. Jika semua ais itu mencair dan air segar di bawah lapisan ais tersebut terkeluar, paras air laut di dunia dikatakan akan meningkat sehingga 60 meter.

·         Benua Antartika jauh lebih dingin daripada Artik sehingga ada lapisan ais di sana tidak pernah cair sepanjang sejarah. Suhu di sana rata-rata antara (-49) darjah Celsius.

·         Penguin hanya boleh ditemukan di Kutub Selatan atau Antartika. Jangan berharap anda dapat bertemu dengan haiwan comel itu di Kutub Utara.


No comments:

Post a Comment

ヅ komen anda amat dialu-alukan
๏̯͡๏ tak puas hati sila komen
(>‿♥) jika terdapat kesalahan,sila tegur
''◠‿◠)Sekian,terima kasih

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...