Saturday

Misteri Kota Dinding Petra

Menakjubkan- Itulah tanggapan yang sering kali diperkatakan oleh pelancong yang singgah di sebuah kota batu purba yang terletak di Yordania, Jordan. Kota itu adalah satu-satunya bandar kuno di dunia  yang dibina melalui proses memahat bukit.

Memiliki ukuran ketinggian 40 meter, kota tersebut digelar sebagai Petra atau kota batu dinding. Ia merupakan sebuah ibu kota tamadun kuno yang dikenali sebagai suku Nabataean. Berdasarkan rentetan sejarah, kota ini mula dijumpai oleh seorang penjelajah Switzerland yang bernama Johann Ludwig Burckhardt pada tahun 1812.

Menurut seorang Penyelidik Sejarah dari Universiti Damaskus, Syria, Dr. Syauqi Abu Khalil, kota batu Petra adalah sebuah penempatan yang dibina dalam jangka masa hampir setengah abad bermula tahun 9 Sebelum Masihi (SM) hingga 40 Masihi, iaitu ketika era pemerintahan Raja Aretas IV.

Hasil ekskavasi yang dilakukan mendapati, tujuan utama kota ini dibina adalah sebagai tempat perlindungan daripada musuh dan bencana alam seperti ribut pasir. Ia mempunyai kemudahan sebagai sebuah bandar yang terancang. Buktinya, kompleks tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik pengepam air, stor, kandang kuda, makam raja dan bilik teater yang mampu menampung seramai 4,000 orang pada satu masa.

Selain mempunyai fungsi sebagai sebuah bandar terancang, kota batu ini turut dikenali sebagai lokasi perdagangan yang penting pada abad ke-4 SM. Mempunyai kedudukan yang strategik, kota Petra sering dikunjungi para pedagang timur dan barat untuk menjual barang dagangan mereka. Malah,  suku kaum Nabataean turut memperkenalkan sistem percukaian dan pajak kepada para pedagang yang ingin menjalankan perniagaan di kawasan kota tersebut.

Bagaimanapun, kegemilangan dan kemasyhuran kota tersebut tidak kekal lama. Pada tahun 106 Masihi, kota berkenaan telah diserang dan dijajah oleh kuasa pemerintahan Rom. Kesan daripada penguasaan Rom, segala aktiviti pentadbiran dan perdagangan di kota itu menjadi lumpuh dan menuju ambang kemusnahan. Akhirnya, pada abad ke-6 Masihi suku Nabataean dikatakan berpindah dan meninggalkan kota berkenaan ekoran ancaman gempa bumi yang kuat.

Persoalannya, ke manakah suku Nabataean berhijrah? Dan apakah yang berlaku seterusnya pada Kota Petra?  

Jelas Dr. Syauqi, setakat ini tiada rekod dijumpai tentang suku Nabataean. Namun, selepas penghijrahan masyarakat Nabataean, kota Petra telah didiami oleh suku kaum Badwi (masyarakat nomad Arab). Selepas itu, ia diambil alih oleh pemerintah Islam pada abad ke-7 Masihi. Kemudian, pada kurun ke-11 hingga 13 Masihi ia menjadi lokasi pertahanan dan persinggahan bagi angkatan tentera Salib yang berlindung daripada pihak musuh.

Kota Petra terletak berdekatan dengan sebuah bukit yang dikenali Bukit Hur(Jabal Harun). Berketinggian 1.350 kilometer dari paras permukaan laut, bukit tersebut merupakan lokasi makam Nabi Harun a.s . Berhampiran makam itu, terdapat juga sebuah kubah yang berwarna putih. Difahamkan, kubah tersebut berasal daripada sebuah masjid yang pernah didirikan di kawasan itu pada abad ke-14 Masihi.

Pada tahun 1985, selepas beberapa tahun kota tersebut ditemui oleh penjelajah Switzerland, Burckhardt, ia telah diwartakan sebagai sebuah tempat bersejarah dalam senarai UNESCO(Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB).

Mengikut laporan sebuah agensi berita BBC (British Broadcasting Corporation), Kota Petra dipilih sebagai salah satu lokasi daripada 40 buah tempat yang perlu dilawati sebelum mati. 


No comments:

Post a Comment

ヅ komen anda amat dialu-alukan
๏̯͡๏ tak puas hati sila komen
(>‿♥) jika terdapat kesalahan,sila tegur
''◠‿◠)Sekian,terima kasih

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...