“Enta tahu tak, orang cina yang mati kalau nak kebumikan mayat diorang kena standby lebih kurang RM20 ribu tau!” seorang
sahabat saya membuka perbualan ketika kami sedang berjalan ke arah
liang lahad untuk mengebumikan seorang jenazah yang baru sahaja
meninggal dunia di taman perumahan kami.
“Oh ye ke? Baru sekejap tadi saya
berbual dengan seorang sahabat kita yang masuk ISLAM. Dulu dia Buddha.
Katanya paling murah RM6 ribu nak kena sediakan” kata saya.
“Tu yang murah punya rasanya. Yang tu diorang bakar je kot.” balas sahabat saya sambil kami berjalan seiringan.
“Alhamdulillah, kos pengebumian kita
takdelah mahal macam tu kan. Setahu saya lebih kurang RM850 sahaja kan.
Itu dah masuk semua sekali, dengan van jenazah sekali. Murah kan…” saya menambah.
“Ya, murah je. Dan alhamdulillah,
taman perumahan kita ni semuanya ditanggung beres oleh pihak surau tanpa
keluarga waris perlu bayar apa-apa…” sahabat saya yang merupakan AJK surau memberikan penjelasan tentang praktis pengurusan jenazah di taman perumahan kami.
“Alhamdulillah. Itulah antara yang
cantiknya ISLAM ni. Cara pengebumian orang ISLAM ni boleh jadi pintu
hidayah kepada orang bukan ISLAM untuk masuk ISLAM. Simple dan tak
menyusahkan waris…” saya membalas sambil menyegerakan langkah
kerana jenazah sudah mahu diangkat ke liang lahad. Tak mahu ketinggalan
untuk turut sama mengangkat jenazah.
Sedang talkin dibacakan oleh imam di
perkuburan, saya merenung kembali kata-kata saya kepada sahabat saya
tadi. Sungguh, memang cara pengebumian ummat ISLAM boleh menjadi jalan
hidayah kepada orang yang bukan ISLAM untuk tertarik dengan ISLAM. Cara
pengebumiannya ringkas dan sederhana sifatnya. Dan kos pengurusannya
tidak sehingga membebankan sangat pihak waris.
Saya teringat akan dua kisah yang pernah
saya dengar suatu ketika dahulu tentang bagaimana dua orang Kristian
yang masuk ISLAM disebabkan oleh tertarik dengan cara pengebumian orang
ISLAM yang cukup sederhana dan ringkas sifatnya.
Kisah pertama berlaku kepada seorang
paderi Kristian dari Itali. Beliau telah menyatakan hasrat untuk
memeluk ISLAM setelah menonton dengan teliti cara pengebumian Raja Fahd
bin Abdul Aziz, iaitu Raja Arab Saudi ketika itu. Cara pengebumian yang
sangat sederhana itu telah ditayangkan ke seluruh dunia dan dapat
disaksikan oleh ramai orang.
Seingat saya, faktor utama yang membuka
pintu hidayah si paderi itu ialah bagaimana ISLAM bertindak tidak
membeza-bezakan antara jenazah si pembesar dengan jenazah orang biasa.
Telah ditayangkan bagaimana jenazah Raja Fahd disolatkan bersama-sama
dengan jenazah yang lain tanpa upacara yang istimewa khas untuk jenazah
Raja Fahd. Malah kain kapan dan kotak keranda serta keseluruhan proses
pengebumian sama sahaja tanpa dibezakan darjat raja atau orang biasa.
Walaupun sudah bertahun-tahun beliau diajak masuk ISLAM dan tetap
berdegil, namun dengan melihat cara pengebumian yang cukup sederhana ini
telah membuatkan beliau pasrah dengan keindahan ISLAM, seterusnya masuk
ISLAM.
Kisah kedua berlaku kepada seorang nenek
di USA. Cucu beliau telah pun masuk ISLAM dan menjadi salah seorang
yang giat berdakwah di tempat mereka. Puas si cucu ini memujuk si nenek
tersebut untuk masuk ISLAM, tetapi tidak berjaya dipujuknya. Pada
suatu hari telah berlaku kematian di kalangan orang ISLAM di tempat
mereka. Disebabkan orang ISLAM yang meninggal dunia itu adalah terdiri
barangkali keluarga terdekat atau jiran mereka, maka si nenek pun hadir
sama ke upacara pengebumian si muslim yang meninggal dunia itu.
Selepas upacara pengebumian tersebut, si nenek itu telah berkata kepada si cucu tadi, “Kalau aku mati nanti, aku mahu kamu kebumikan aku macam itu juga”,
beliau merujuk kepada cara pengebumian si muslim tersebut. Dengan
hidayah dan taufiq dari ALLAH, maka si nenek itu pun masuk ISLAM.
Beliau masuk ISLAM lantaran tertarik dengan cara pengebumian ISLAM yang
sederhana dan menginsafkan. Selang beberapa tahun kemudian, si nenek
itu pun meninggal dunia. Dan beliau dikebumikan dengan cara yang beliau
mahu iaitu meninggal dunia sebagai muslim dan dikebumikan dengan cara
pengebumian muslim. Kisah ini telah disampaikan oleh cucu beliau yang
merupakan seorang pendakwah ISLAM yang aktif berdakwah di USA.
Itulah dua kisah yang mungkin dapat kita
pelajari dan ambil iktibar. Betapa kesederhanaan dan mudahnya ISLAM ini
bisa menambat hati fitrah manusia.
Justeru, amalkanlah ISLAM mengikut contoh
yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Jangan
menyusah-nyusahkan dengan upacara tambahan dan rekaan. Sungguh, pada
kesederhanaanlah, ISLAM ini dilihat cantik.
WAllahu Ta`ala A`lam.
Sekadar berkongsi,
Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
30 Jun 2011.
No comments:
Post a Comment
ヅ komen anda amat dialu-alukan
๏̯͡๏ tak puas hati sila komen
(>‿♥) jika terdapat kesalahan,sila tegur
''◠‿◠)Sekian,terima kasih