Saturday
Fenomena Sun Dog
Matahari adalah objek tunggal yang membekalkan cahaya kepada bumi. Namun, pada masa-masa tertentu, matahari tidak lagi bersendirian, sebaliknya kelihatan dua atau tiga lagi cahaya berada berhampiran dengannya – seolah-olah kembar kepada matahari. Apakah cahaya tersebut?
Sejak berkurun-kurun lamanya, manusia sudah pun membincangkan perihal mengenai fenomena matahari kembar ini. Seawal tahun 372 SM lagi, seorang ahli falsafah Greece bernama Aristotle telah menyatakan bahawa terdapat dua matahari tiruan telah terbit bersama matahari induk. Tetapi ia hilang apabila matahari berada tegak di atas kepala.Kemudian, pada tahun 50 SM, seorang lagi penulis dari Yunani yang bernama Tubero turut menyatakan tentang fenomena matahari berganda ini serta menggelarnya sebagai Sun Dog. Bagaimanapun, pada ketika itu, manusia masih tidak mengetahui sama ada ia berlaku di luar angkasa ataupun di dalam ruang atmosfera bumi.
Di seluruh belahan dunia juga, turut berlegar pelbagai mitos dan anggapan yang dikaitkan dengan fenomena matahari kembar ini. Pada tahun 891 misalnya, seorang penyair dari Greece, Aratus telah menyatakan bahawa fenomena matahari kembar itu adalah petanda hujan badai yang akan melanda sesuatu tempat.
Dalam peperangan Roses yang berlaku di Herefordshire, Inggeris pada 1461, dikatakan tiga matahari muncul sebelum peperangan tersebut berlangsung. Komander tentera Yorkist, Edward IV yakin kemunculan tiga matahari tersebut telah membawa tuah kepada pasukan ketenteraannya dan mereka akhirnya berjaya mengalahkan tentera musuh. Manakala pada 20 April 1535 menyaksikan langit di ibu kota Stockholm, Sweden telah dipenuhi dengan tiga matahari ‘tambahan’ yang mengelilingi matahari utama. Pendeta Laurentius Andreae yang secara kebetulan menyaksikan fenomena tersebut telah meminta seorang pelukis untuk mendokumentasikan fenomena itu ke dalam bentuk lukisan untuk dibawa menghadap raja. Namun, Raja Gustav Vasa sebagai pemerintah ketika itu telah murka dan menganggap ia adalah satu penipuan. Baginda telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Laurentius.
Mitos dan kepercayaan karut mengenai fenomena itu bagaimanapun semakin beransur hilang apabila peredaran zaman berlaku. Namun, gelaran Sun Dog masih lagi kekal dan diguna pakai sebagai istilah sehingga kini.Jika melihat kepada foto-foto yang berjaya dirakamkan di seluruh dunia, anda akan mengerti mengapa fenomena ini disebut sebagai Sun Dog. Ianya sudah pasti disebabkan oleh matahari tambahan itu terlihat seperti seekor anjing yang setia di sebelah tuannya, sang matahari.
Menurut Pengarah Komunikasi Korporat, Jabatan Meteorologi Malaysia, Ramlan AB. Rahman, selain daripada Sun Dog, ia turut dikenali dengan nama Parhelion ataupun fenomena matahari kembar. Ia adalah satu fenomena yang berlaku di dalam atmosfera, bukan di luar angkasa.
Apabila fenomena tersebut berlaku, terdapat kumpulan cahaya tambahan di kedua-dua sisi matahari. Sehinggakan, kedua cahaya ini kelihatan bulat dan membuatkan kita berfikir adakah ia adalah matahari tambahan.
Jelasnya, fenomena ini boleh berlaku di mana sahaja. Tetapi, ia akan lebih mudah terlihat ketika matahari berada pada posisi yang lebih rendah – sama ada ketika terbit atau terbenam.
Apabila matahari semakin meninggi, cahaya matahari akan bergeser dari sudut 22 darjah tersebut. Disebabkan itu, Sun Dog tidak akan kelihatan apabila hari semakin terik. Namun, sekiranya kristal ais tersebut masih wujud di atmosfera, matahari tambahan akan kembali muncul pada waktu petang.
Umumnya, Sun Dog berwarna merah jika ia berada dekat dengan matahari. Bagaimanapun, warnanya akan berubah kebiruan apabila kedudukannya semakin jauh.
Tugas Tukang Rasa Makanan
TERDAPAT banyak jenis pekerjaan yang mengerikan dan paling berbahaya sepanjang sejarah dunia. Salah satunya ialah pengecap makanan atau tukang rasa makanan golongan pemerintah, pemimpin kerajaan dan ahli-ahli politik. Pada zaman pemerintahan Rom kuno, tugas merasa makanan ini sering diberikan kepada seorang kanak-kanak yang dipanggil sebagai praegustator. Kerjaya ini bagaimanapun mungkin dianggap sebagai anakronisme atau sesuatu yang ketinggalan zaman, lebih-lebih lagi pada abad ke-21 ini.
Namun, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa pekerjaan ini masih diperlukan sampai ke hari ini. Umpamanya, pada bulan Jun 2009, tindakan Presiden Obama menggunakan khidmat pengecap makanan untuk menguji makanan yang dihidangkan untuknya sewaktu di Perancis menjadi tajuk utama berita seluruh dunia.
Para pegawai Olimpik juga pernah melakukan hal yang sama ketika Sukan Olimpik Beijing 2008 lalu. Mereka telah menguji makanan dengan memberi susu, salad dan beras kepada tikus putih sebelum makanan tersebut dihidangkan kepada atlet. Tindakan ini bertujuan untuk mengelakkan keracunan makanan dan menjaga keselamatan atlet.
Itulah tugas tukang rasa makanan. Mereka bertanggungjawab menguji makanan atau minuman yang disajikan, terutama kepada orang-orang kenamaan. Walaupun bunyinya seperti hebat namun sebetulnya kerjaya ini penuh dengan risiko. Ibaratnya, nyawa setiap pengecap makanan berada di hujung tanduk. Mana tidaknya, tugas penting mereka bukan hanya sekadar merasa makanan sebelum raja duduk di meja makan, tapi paling utama adalah untuk memastikan semua hidangan itu selamat untuk dimakan dan tidak mengandungi sebarang toksin atau racun. Jika ada reaksi negatif, raja hanya menyisihkan makanan dan minuman yang dihidangkan ke tepi, tanpa menyentuhnya langsung tapi pengecap makanan yang menanggung akibatnya.
Seawal tahun 331 Sebelum Masihi (SM) lagi, keracunan di meja makan atau minuman telah dilaporkan berlaku dan amalan ini sudah menjadi satu perkara biasa di dunia. Selama pemerintahan Ratu Elizabeth I misalnya, pihak istana cukup berhati-hati tentang soal jamuan makanan diraja kerana bimbang ada pihak atau musuh yang mahu meracuni ratu.
Sebab itulah, tukang rasa makanan ini sangat-sangat diperlukan. Tidak hanya untuk golongan raja, tetapi oleh tokoh-tokoh kerajaan dan individu berkepentingan yang mungkin di bawah ancaman bunuh atau dalam keadaan berbahaya.
Racun merupakan senjata yang selalu digunakan oleh pengecut untuk menghapuskan orang mereka tidak sukai. Cara ini adalah mudah tanpa perlu berhempas pulas menghunus senjata atau mengupah pembunuh upahan. Terdapat banyak jenis racun yang digunakan dalam misi pembunuhan ini.Menurut ahli kimia dari Universiti Cambridge, Profesor John Emsley, bahan kimia seperti arsenik dan nikotin, merupakan bahan beracun yang mudah sebati dalam makanan. Ia boleh didapati dalam bentuk serbuk. Kehadirannya membuatkan makanan berubah tekstur menjadi kasar. Seseorang pengecap makanan yang berpengalaman mampu mengesan dengan cepat muslihat ini.
Selain itu, racun nabati juga antara bahan berbisa yang kerap menjadi pilihan kerana ia mudah tersembunyi terutama dalam sayuran. Selain dicampurkan dalam hidangan, ia turut dijadikan sebagai bahan penyegar bilik dan pewangi pakaian. Di samping itu, tanaman atau herba seperti Hemlock, Larkspur dan Meadow Saffron adalah racun yang amat disukai oleh pembunuh kerana jenis ini dianggap paling bahaya.
Bagaimanapun, banyak racun yang digunakan dalam usaha membunuh ini mengambil masa beberapa jam untuk bekerja. Cuma ada satu bahan kimia yang boleh membunuh dalam beberapa minit, iaitu sianida. Manakala, racun alkaloid seperti strychine dan atropin boleh membunuh dalam masa 24 jam. Sementara itu, arsenik akan membuatkan mangsa muntah dalam beberapa jam dan mungkin mati sehari kemudian. Ini kerana ada kalanya racun menunjukkan reaksi yang agak lama.Sejarah telah banyak menyaksikan korban pembunuhan menggunakan racun dalam makanan terutama ketika pergolakan politik. Sebagai contoh, Halotus adalah seorang pengecap makanan rasmi bagi pihak Maharaja Rom Claudius.
Satu hari, Halotus menjadi terkenal tapi bukan kerana kejayaannya menyelamatkan nyawa maharaja. Dia popular disebabkan beliau gagal dalam pekerjaannya. Claudius telah mati pada tahun 54 Masihi kerana termakan racun. Dalam kes ini, Halotus menjadi sasaran dan dilabel sebagai suspek utama dalam pembunuhan tersebut. Selain kes ini, isteri Carlos II dari Sepanyol, Marie Louise turut mati secara tiba-tiba pada bulan September 1689 disebabkan keracunan.
Mengikut buku Neopoliani Magioe Naturalis yang diterbitkan sebelum tahun 1590, menceritakan secara terperinci tentang seni keracunan dan kaedah berkesan menggunakan racun untuk melakukan pembunuhan. Ternyata, cara paling popular dan berkesan membunuh seseorang dengan racun pada masa itu adalah dengan memasukkan dadah ke dalam minuman arak seseorang.
Oleh kerana racun dianggap begitu bahaya, Mithridates VI, Raja Pontus dari sebuah negara Yunani kuno di Anatolia utara atau kini dikenali sebagai Turki, hidup dalam ketakutan sepanjang usianya. Dia terlalu bimbang kalau-kalau racun menjadi pembunuhnya. Justeru, dia bekerja keras dan berusaha mencari penawar bagi membolehkan dirinya kebal dari terkena bahan berbahaya itu. Dia akhirnya berjaya mendapatkan kekebalan itu, tetapi tetap juga mati dibunuh pihak musuh pada 63 SM.
Adakah Menguap Boleh Berjangkit?
Sejak kecil kita telah dididik oleh kedua ibu dan bapa supaya menutup mulut ketika menguap. Di Greek pula, terdapat satu kepercayaan yang menyatakan manusia perlu menutup mulut apabila menguap bagi mengelakkan roh terlepas melalui mulut.Secara logiknya, apabila berasa mengantuk atau letih, pasti kita akan menguap. Namun menguap tidak bererti kita sedang berasa mengantuk. Jika anda sedar, kadang-kala kita boleh lihat satu fenomena pelik di mana, apabila ada seorang itu menguap, pasti akan ada orang lain juga yang akan menguap.
Malah ada juga yang cakap, kalau membaca perkataan ‘menguap’ juga boleh membuatkan kita mengalami situasi menguap secara tiba-tiba. Ada beberapa penyelidik juga mengakui, 40 hingga 60 peratus orang yang melihat gambar orang menguap juga cenderung untuk menguap. Soalnya, apakah semua ini benar?
Berdasarkan kepada beberapa kajian saintis mengatakan, menguap berpunca daripada saluran darah dalam badan manusia yang kekurangan oksigen. Selain itu ada teori yang menyatakan menguap boleh melaraskan sistem badan manusia.
Jelas Pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rozainee Khairudin, secara teknikalnya, menguap adalah keadaan fisiologi yang berlaku secara serentak di mana semasa seseorang itu mengambil udara untuk bernafas, berlaku regangan pada gegendang telinga.Bagaimanapun, perbuatan menguap bukan saja berlaku pada manusia. Haiwan juga mengalaminya. Namun, menguap di kalangan haiwan mempunyai maksud lain misalnya gorila akan menguap sebagai isyarat kepada kumpulannya supaya melindungi diri masing-masing. Anjing pula menguap untuk memperlihatkan gigi taringnya supaya ditakuti musuh.
Jelas Dr. Rozainee, berdasarkan hasil kajian beberapa penyelidik, didapati menguap dapat disimpulkan kepada tiga teori utama, iaitu teori fisiologi, teori evolusi dan juga teori bosan.
Teori fisiologi adalah satu keadaan di mana seseorang yang menguap itu sedang memerlukan oksigen yang lebih untuk dibawa ke paru-paru bagi menyingkirkan karbon dioksida. Keadaan ini dapat dibuktikan apabila kita berada di bilik tertutup seperti bilik mesyuarat, kelas dan juga tempat-tempat yang penuh dengan orang ramai.
Apabila sesebuah bilik tertutup itu dipenuhi dengan orang ramai, maka lebih banyak karbon dioksida disingkirkan dan lebih banyak pula oksigen yang diperlukan. Jadi, keadaan ini merupakan punca mengapa seseorang itu menguap dan diikuti pula dengan individu yang lain. Faktor cuaca juga boleh menjadi penyebab seseorang itu menguap.
Bukan itu sahaja, menurutnya lagi, para saintis mendapati secara fisiologinya menguap boleh mengawal suhu otak seseorang. Bagaimanapun, sehingga kini, saintis masih lagi mencari alasan mengapa manusia menguap.
Bagaimanapun terdapat saintis menyatakan menguap adalah satu evolusi. Ia dibuktikan melalui masyarakat zaman purba dahulu yang menguap disebabkan mahu menunjukkan gigi mereka bagi menakutkan musuh.
Meskipun begitu, ramai pengkaji tidak bersetuju dengan kenyataan itu. Mereka lebih gemar mengaitkan keadaan itu dengan bosan. Mereka berpendapat, bosan adalah punca kenapa perkara ini berlaku. Hal ini dapat dilihat melalui perlakuan remaja yang akan menguap apabila mereka bosan.
Mencari jawapan adakah punca menguap disebabkan situasi melihat orang lain menguap, membaca maklumat tentang menguap atau mendengar perkataan ‘menguap’, Dr. Rozainee tidak menyangkal bahawa perkara tersebut adalah benar.
Secara biologinya, penyelidik mendapati menguap boleh dikaitkan dengan emosi atau dalam erti kata lain melalui kaedah ‘brain imaging’, iaitu salah satu bahagian otak yang berkaitan dengan emosi. Menguap juga menyebabkan pertambahan rembesan hormon atau sistem endokrin yang sering dikaitkan dengan emosi dan empati seseorang. Empati adalah satu keadaan yang membolehkan seseorang itu memahami dan merasai perasaan orang lain dan sangat penting dalam perkembangan kognitif seseorang.
Seorang penyelidik di Amerika Syarikat telah membuat satu eksperimen terhadap dua kumpulan pelajar yang terdiri daripada pelajar psikologi dan pelajar kejuruteraan. Berdasarkan hasil eksperimen, didapati pelajar psikologi menguap sebanyak 5.5 kali berbanding dengan pelajar kejuruteraan yang hanya menguap 1.5 kali. Menurut Dr. Rozainee, keadaan ini berlaku disebabkan pelajar psikologi telah dilatih untuk memahami perasaan dan emosi orang lain berbanding dengan pelajar kejuruteraan.
Menjawab persoalan mengapa menguap boleh berjangkit, Dr. Rozainee menjelaskan ia berkaitan dengan konsep ‘emotive contagion’ iaitu bergantung kepada seseorang untuk memahami orang lain kerana sesetengah manusia sangat sensitif dengan perasaan dan emosi seseorang.
Bagaimanapun, didapati para atlet turut menguap selepas meregangkan otot-otot badan kerana ia akan memberi lebih kesegaran kepada sistem badan mereka.
Perihal Haiwan Peperangan
SEGALA makhluk yang merayap di bumi, dan burung-burung yang terbang dengan sayap-sayapnya adalah umat-umat yang serupa dengan manusia. Keserupaan ini menyerlah melalui sifat sesetengah daripada haiwan ini yang seakan-akan sama dengan tabiat manusia. Walaupun haiwan tidak diberikan kedudukan setaraf dengan manusia namun kedudukannya merupakan sesuatu yang penting dalam keseimbangan kehidupan di bumi.Di dalam Al-Quran, terdapat enam daripada 114 surah menceritakan mengenai haiwan. Surah-surah tersebut seperti al-Baqarah (lembu), Al-An’am (haiwan ternakan), al-Nahl (lebah), al-naml (semut), al-Ankabut (labah-labah) dan al-Fil (gajah). Ini menunjukkan, haiwan merupakan sesuatu yang sangat berfungsi di dalam kehidupan manusia.
Menurut Prof. Madya Dr. Bashir Ahmad Fateh Mohamed, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), secara umumnya, terdapat tiga kegunaan haiwan dalam kehidupan manusia. Pertama sebagai makanan, kedua sebagai alat yang membantu dalam urusan kehidupan contohnya dalam pekerjaan dan ketiga sebagai haiwan kesayangan dan peliharaan.
Selain itu, sejarah tamadun dunia menunjukkan, haiwan juga dapat diaplikasikan sebagai senjata pertempuran. Kisah-kisah mengenai penaklukan dan penjarahan oleh raja-raja perang ternama dunia sebenarnya tidak boleh lari daripada haiwan. Haiwan memainkan peranan penting dan merupakan faktor kemenangan mereka. Keadaan ini menyebabkan sesetengah haiwan diletakkan taraf dan prestij dalam sesebuah negara malah ada kalanya ia menjadi lambang negara. Misalnya kuda. Ia bukan saja menjadi kenderaan tetapi ia merupakan lambang kehebatan raja-raja dulu kala dan digunakan dalam pelbagai upacara rasmi diraja seluruh dunia. Namun, kecanggihan teknologi telah mengubah kedudukan haiwan yang menjadi pahlawan perang kepada satu lambang kemasyhuran. Menurut Dr. Bashir Ahmad, jika dulu kuda digunakan untuk berjuang di medan pertempuran, tetapi kini, kuda lebih banyak digunakan dalam aktiviti kesukanan dan riadah selain dijadikan haiwan untuk pertunjukan hiburan.
Bagi mengekalkan simbol kegemilangannya, kuda juga selalu digunakan sebagai tunggangan pasukan keselamatan untuk membuat rondaan di taman-taman awam. Perkara ini banyak dipraktikkan di negara-negara maju. Bagaimanapun kini, kegunaan kuda mula ditambah. Ia juga boleh digunakan untuk proses rawatan terapi. Misalnya, kanak-kanak yang mengalami sindrom kecacatan otot boleh menggunakan khidmat kuda untuk melakukan proses terapi. Kuda akan digunakan untuk menggerakkan otot-otot selain mempercepatkan proses perkembangan otak dan minda. Penggunaan kuda mampu menggerakkan percambahan fungsi otak mereka supaya dapat berfungsi dengan lebih cepat.
Di dalam banyak-banyak tentera haiwan, gajah merupakan haiwan yang paling banyak dan penting dalam sesuatu medan perang terutamanya di benua Asia. Mengikut kisah sejarah perang zaman pemerintahan raja-raja Ayuthaya, gajah merupakan kenderaan perang raja-raja. Raja akan berada di bahagian hadapan kepala gajah semasa bertempur dengan musuh. Lukisan serta lakaran-lakaran lama menunjukkan, raja akan bertempur dengan musuh dari atas gajah.
Kegunaan gajah secara taktikal perang adalah alat untuk memecahkan kubu pertahanan musuh ketika pertempuran bermula. Biasanya, gajah perang akan diletakkan di barisan kedua yang berfungsi sebagai pemecah benteng tentera musuh bagi membuka ruang untuk proses serangan. Gajah perang akan dilatih dengan teknik serangan menyerbu, memijak musuh dan melindungi askar pejalan kaki.Gajah-gajah perang yang terpilih akan melalui satu latihan intensif agar ia tidak mudah gentar dengan bunyi bising dan hiruk pikuk semasa peperangan berlangsung. Jika tidak dilatih, gajah akan bertindak liar dan akan menyerang sesiapa saja. Ini akan membahayakan pasukan sendiri. Kelazimannya, gajah jantan yang dipilih sebagai gajah perang kerana ia agak pantas dan mempunyai kecekapan memimpin serta lebih garang.
Kegunaan gajah juga diaplikasikan di Malaysia sejak daripada zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Menurut beberapa pengkaji sejarah, sebenarnya gajah bukan saja menjadi peralatan dan kenderaan perang namun ia juga merupakan alat yang digunakan untuk kerja-kerja berat.
Pada abad ke-15, semasa era penjajahan Portugis di Melaka, banyak gajah telah dilatih dan dihantar ke India menggunakan kapal untuk kegunaan raja-raja di sana. Perniagaan ini juga telah banyak mendatangkan keuntungan kepada pedagang gajah.Selain daripada itu, gajah-gajah terlatih juga digunakan sebagai kenderaan oleh kerabat diraja Melayu di masa silam. Gajah juga telah digunakan untuk mengangkat barang diraja dari satu tempat ke suatu tempat yang lain di masa dahulu. Namun begitu, Malaysia tidak lagi menjalankan aktiviti melatih gajah setelah mendapat alternatif lain sebagai kenderaan dan gajah yang tinggal di Malaysia hanyalah merupakan gajah-gajah liar yang hidup bebas di hutan.
| Prof. Madya Dr. Bashir Ahmad Fateh Mohamed |
Selain dua haiwan di atas, anjing juga merupakan pahlawan perang yang cukup berguna dan terus digunakan sampai ke hari ini. Kebolehan dan keupayaan anjing terus dipraktikkan sebagai agen pengesan yang paling berguna di dunia. Di negara-negara barat, anjing jenis German Shepherd, memang digunakan sebagai alat pengesan dan pemburu yang cukup handal. Dalam aktiviti ketenteraan moden juga, anjing turut dilatih sebagai askar dan telah digunakan semasa kempen peperangan di Afganistan dan timur tengah.
Mengikut rekod, pada 7 Julai 1979, anjing jenis German Shepherd telah digunakan untuk mengesan periuk api dan jerangkap samar semasa zaman penentangan komunis di Malaysia. Anjing ini diberi nama Max dan telah melakukan tugasnya dengan cemerlang hinggalah ia mati terkena tembakan komunis di kawasan hutan Bukit Pertang, Pahang.
Gunung ais menyanyi
RAMAI orang suka menyanyi. Haiwan seperti burung juga gemar berkicau sehingga kedengaran seolah-olah bernyanyi. Tapi, apakah alam ini turut berkebolehan melontarkan alunan suara nyanyiannya? Amat mengejutkan, hal aneh ini telah berjaya dirakam tanpa sengaja oleh sekumpulan saintis dari Alfred Wegener Institut for Polar & Marine Research, Jerman. Semuanya bermula pada bulan Julai dan November tahun 2002, ketika para ilmuwan dari institut berkenaan menjalankan penelitian ke atas gerakan Bumi di Antartika. Saat tekun merakam bunyi seismos untuk mengukur gempa bumi dan gerakan tektonik pada lempeng ais di pesisir Atlantik, Selatan Antartika, tiba-tiba mereka terdengar signal akustik berfrekuensi sekitar 0.5 hertz.
Bunyi aneh itu terlalu rendah untuk didengar oleh manusia. Namun, jika hal menganehkan itu dimainkan pada kelajuan lebih tinggi, maka akan muncullah suara seperti dengungan lebah. Malah, ada ketikanya melodi itu seperti sebuah orkestra - umpama alat muzik biola dimainkan secara serentak seperti burung bersenandung. Tapi, bunyi apakah itu? ‘Siapa’ sebenarnya yang mengalunkannya dan dari mana datangnya suara ganjil itu? Adalah mustahil jika suara itu milik seseorang kerana Antartika merupakan dataran yang tidak berpenghuni! Lalu jika ia bukan suara manusia, siapa sebenarnya pencetus irama itu? Hal ini benar-benar membingungkan para saintis.
Untuk tidak terus berteka-teki, para ilmuwan ini membuat keputusan untuk mengesan punca suara misteri itu. Menurut seorang saintis Fielax, sebuah syarikat Jerman yang bekerjasama dengan Alfred Wegener Institut for Polar & Marine Research, Christian Muller, awalnya mereka tidak ada penjelasan mengenai fenomena pelik tersebut. Mereka hanya menduga kemungkinan bunyi itu berpunca dari masalah teknikal. Ada kemungkinan juga bunyi tersebut datangnya dari pergerakan kerak bumi. Tapi setelah dijejaki pencetus irama itu, ternyata andaian mereka silap. Saintis mendapati rupa-rupanya semua itu bukan disebabkan oleh masalah lain, tetapi terhasil dari gelombang suara yang berasal dari gunung ais.
Soalnya kini, bolehkah gunung-ganang bersenandung? Jika hal ini dapat dibuktikan benar, maka penemuan ini menjadi satu lagi pendedahan tentang perkara aneh berhubung karakter alam semesta yang kita tidak ketahui.
Bagaimanapun, hasil analisa menunjukkan gelombang suara dari gunung ais itu bukanlah terhasil dengan sendirinya atau disebabkan kuasa ghaib. Sebaliknya, para saintis sepakat bahawa suara yang agak menakutkan itu digerakkan oleh aliran air yang mengalir dicelah-celah dinding dan terowong gunung ais pada tekanan yang sangat tinggi.
Perubahan tekanan arus air yang mengalir menyebabkan terhasilnya getaran dan nada turun naik seperti sebuah lagu. Dan muzik itulah sebetulnya yang berjaya dirakam oleh saintis Alfred Wegener Institut for Polar & Marine Research. Para saintis kemudian cuba mengeksploitasi fenomena itu untuk kegunaan dalam bidang lain. Akhirnya, penemuan gunung ais bernyanyi bersaiz 30 kilometer hingga 50 kilometer itu membuka ruang untuk kajian sampingan lain.
Paling penting, ia dapat membantu para saintis untuk lebih memahami tentang letupan gunung berapi, gempa bumi dan plat tektonik. Ini kerana rakaman getaran gunung ais yang berjaya ditangkap itu sangat mirip dengan getaran atau gegaran gunung berapi.
FAKTA RINGKAS
· Antartika adalah benua bumi selatan di Kutub Selatan. Dianggap sebagai daratan benua atau gurun.
· Sepanjang sejarah, Antartika direkodkan tidak pernah dikuasai oleh siapapun, bahkan tidak ada penduduk asli di sana.
· Antartika adalah tempat terbaik untuk menemukan meteor. Pasukan saintis Jepun dilaporkan telah menemukan tahi bintang pertama di sini. Menurut para ilmuwan, meteor yang pernah ditemukan di sini mengandungi bahan kimia organik dan fosil dari planet Marikh. Malah diyakini setiap meteor tersebut berisi jejak penting daripada kehidupan di Marikh.
· 90 peratus ais dan sekitar 80 peratus air segar di dunia tersimpan dan terkunci di lapisan ais Antartika. Jika semua ais itu mencair dan air segar di bawah lapisan ais tersebut terkeluar, paras air laut di dunia dikatakan akan meningkat sehingga 60 meter.
· Benua Antartika jauh lebih dingin daripada Artik sehingga ada lapisan ais di sana tidak pernah cair sepanjang sejarah. Suhu di sana rata-rata antara (-49) darjah Celsius.
· Penguin hanya boleh ditemukan di Kutub Selatan atau Antartika. Jangan berharap anda dapat bertemu dengan haiwan comel itu di Kutub Utara.
Manusia-manusia Elastis
SEKALI pandang, tiada apa yang menarik tentang lelaki ini. Tetapi, jika mengetahui di sebalik susuk tubuh lelaki ini, tentu sahaja anda berasa teruja. Garry Tunner, merupakan satu-satunya lelaki yang mampu menarik kulit badannya sehingga mencecah ke muka. Tentu sahaja kita terbayangkan kesakitan yang dialaminya, tetapi itulah keistimewaan yang dimiliki oleh lelaki yang berasal dari Lincolnshire, England ini.
![]() |
| Francisco Domingo Joaquim |
Kebolehan yang dimiliki oleh Garry Turner ini berjaya menempatkan dirinya di dalam Guiness World of Record di Los Angeles. Disebabkan kelebihan yang dimilikinya, dia sering kali dipanggil untuk membuat persembahan secara langsung di hadapan penonton dan juga rakaman televisyen.
Keelastikan kulit yang dimiliki Turner terutamanya di bahagian perut boleh mencapai sehingga 15.8 sentimeter. Sungguh menakjubkan. Pada pemikiran manusia biasa, tindakan seperti menyeksa diri ini dan pastinya dianggap tidak masuk akal. Tetapi kata lelaki berbadan kurus ini, setiap kali dia melakukan aksi menarik kulit, dia tidak pernah merasai sebarang kesakitan malah merasa seronok ketika melakukannya.
Bagaimanapun, kelebihan yang dimiliki oleh Turner sebenarnya bukanlah sesuatu yang baik kerana ia merupakan sejenis penyakit. Menurut pakar yang mengkaji kelebihan Turner, fenomena ini dikenali sebagai Ehlers-danlos Syndromem (EDS), iaitu sejenis penyakit yang mengganggu jaringan tisu-tisu penghubung dalam badan.
| Garry Turner |
Tisu perantara ini membantu menyokong kulit, otot-otot, ligamen dan organ-organ dalaman. Tanpa tisu penghubung ini, ia akan menyebabkan kolagen yang bertanggungjawab sebagai agen penguat dan keanjalan pada kulit akan menjadi rosak. Malah, ia akan mengganggu bahagian-bahagian lain terutamanya sendi-sendi badan.
Walaupun Turner tidak pernah merasai kesakitan sewaktu beraksi, namun jika kondisi kulitnya semakin lama semakin mengendur dan tidak anjal, ia boleh menjadi begitu merbahaya. Keadaan yang serius akan mengakibatkan pembuluh darah di dalam badan pecah, yang akhirnya boleh mendatangkan kecacatan dan kematian.
Selain Garry Turner, masih terdapat beberapa individu lain yang mempunyai tahap keelastikan yang tinggi tetapi daripada segi yang berbeza. Misalnya, lelaki yang bernama Francisco Domingo Joaquim, 20, merupakan antara pemegang rekod mulut paling elastis di dunia.
Mampu membuat bukaan mulut sepanjang 6.69 inchi, Joaquim berjaya memasukkan sebotol tin minuman ke dalam mulutnya sebanyak 14 kali dalam tempoh satu minit sahaja.
Berasal dari Rom, negara itu pernah mengadakan pertandingan mulut paling elastis. Walau pun mendapat sambutan daripada penduduk tempatan, ternyata tiada siapa yang mampu menyaingi Joaquim.
Malah, dia tidak pernah sekali pun bertemu dengan pakar mulut atau gigi berhubung keanehan dirinya. Namun, para doktor tempatan mengandaikan kelebihan yang dimiliki oleh Joaquim ini adalah sesuatu yang istimewa dan tidak merbahayakan dirinya.
Begitu juga dengan Zlata, gadis yang berasal daripada Rusia yang mempunyai tahap keelastikan tubuh badan yang tinggi. Dia mampu melipat seluruh badannya untuk dimasukkan ke dalam sebuah kotak kecil berukuran 20 inci persegi. Ia adalah sesuatu yang mustahil bagi manusia normal untuk melakukan aksi seperti ini.
Namun, keistimewaan yang dimiliki oleh Zlata tidak berlaku secara serta merta. Dia menyedari tubuhnya mempunyai kebolehan membuat pergerakan yang begitu elastis sejak berusia 14 tahun. Semenjak itu dia kerap melakukan latihan dan akhirnya dia dikenali oleh kebanyakan rakyat Rusia.
Tukang kentut profesional
MELEPASKAN angin atau kentut baik sengaja atau tidak, satu perbuatan yang tidak mendapat tempat terhormat dalam masyarakat dunia walau di ceruk mana sekalipun. Ini kerana, budaya kita terutamanya menganggap kentut sembarangan itu adalah perlakuan tidak sopan. Namun, tahukah anda bahawa perkara memalukan ini telah dijadikan satu kerjaya popular dan lumayan oleh sesetengah orang.Soalnya, betulkah kentut boleh menjadi satu karier? Walaupun bunyinya agak dan tidak masuk akal, namun sejarah mencatatkan bahawa Joseph Pujol adalah individu pertama di dunia yang menjadi perintis kepada pekerjaan ini. Lelaki ini telah memulakan kerjayanya sebagai tukang kentut atau ‘flatus’ pada tahun 1887, ketika di usia 30 tahun.
Awalnya, dia cuma mencuba nasib sebagai ‘flatus’ di tempat kelahirannya di Marseille, Perancis. Percubaannya itu bagaimanapun tidak sia-sia kerana mendapat sambutan yang di luar dugaan. Kerana yakin bakatnya diterima ramai, Pujol memutuskan untuk berhijrah ke Paris. Nasib menyebelahinya, dia diberi peluang untuk mengadakan persembahan pentas pertamanya di sebuah kelab teater di sana.Tampil berpakaian kemas dengan baju berwarna merah, berseluar hitam dan bersarung tangan putih, bekas pengusaha kedai roti ini bersiap sedia untuk menghiburkan orang ramai. Tapi sebelum itu, dia awal-awal lagi memberitahu penonton agar bertenang kerana angin yang bakal dilepaskannya nanti sama sekali tidak berbau sepertimana kentut biasa.
Oleh kerana pertunjukannya adalah sesuatu yang baru pada masa itu, ramai penonton benar-benar tidak bersedia dengan apa yang bakal mereka lihat sebentar lagi. Pujol bagaimanapun tidak mengendahkan semua itu. Dia mengambil tempat dan memulakan persembahannya. Saat itu, bergemalah pelbagai bunyian unik dari arah belakang Pujol.
Menarik sekali, kentut lelaki ini mampu menghasilkan pelbagai suara binatang seperti kicauan burung, kesan bunyi ledakan bom, meriam, petir, suara garau manusia, bunyi mesin jahit, bahkan boleh memainkan beberapa lagu-lagu popular dan irama merdu seruling. Paling luar biasa, angin kentut itu boleh meniup lilin yang jaraknya beberapa meter! Pada awalnya, orang ramai terlopong dan terkejut kerana tidak menduga menonton aksi aneh sedemikian. Namun di pertengahan pertunjukan, perasaan pelik itu tiba-tiba berubah menjadi suatu yang menghiburkan. Orang ramai semakin tidak dapat menahan ketawa lantaran mendengarkan ledakan kentut Pujol. Sampaikan ada yang terkeluar air mata gara-gara berasa geli hati dengan bunyi kentut tersebut.
Malangnya, kerana terlalu banyak ketawa, ramai penonton mengalami kesesakan nafas. Beberapa wanita yang memakai korset ketat pula dilaporkan terpaksa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana tidak boleh bernafas gara-gara ketawa berlebihan. Sekali lagi, pertunjukan pencinta muzik ini berjaya meraih tumpuan ramai.
Sejak itu, Pujol menjadi terkenal dan popular. Dia juga mendapat bayaran paling tinggi di Perancis untuk kategori pertunjukan pentas pada masa itu. Kejayaan ini membuatkan ramai ingin tahu bagaimana dia mengeluarkan kentut sekuat itu dengan irama yang pelbagai.
Menurut Pujol, semuanya bermula ketika dia baru saja tamat persekolahan. Pada satu hari,ketika dia sedang mandi-manda di laut sambil menahan nafas untuk menyelam, tiba-tiba dia berasa ‘sesuatu’ yang sejuk memasuki rongga duburnya. Dia panik dan terus berlari ke darat. Seketika kemudian, dia mendapati banyak air keluar daripada bahagian anusnya. Anak sulung daripada lima orang adik beradik berasa pelik kerana keadaannya tidak serupa orang lain. Persoalan yang membuatkannya terpinga-pinga adalah bagaimana air laut boleh memasuki rongga sulit itu? Apabila satu kajian perubatan dijalankan ke atas Pujol, doktor pakar mengesahkan bahawa tukang kentut ini memiliki keunikan fisiologi yang tidak terdapat pada orang lain. Ususnya mampu ‘menghirup’ atau memindahkan udara ke dalam rektum dan kemudian mengawal pelepasan udara melalui otot-otot anusnya.
Pada tahun 1895, lelaki yang juga dikenali sebagai ‘Le Petomane’ ini terpaksa berpisah dengan pengurus kelab teater tempatnya mengadakan persembahan kerana melanggar kontrak iaitu kentut sembarangan di tempat awam. Semenjak itu, lelaki Perancis ini kembali ke negaranya dan mengusahakan semula kedai roti milikinya.Kini, bakat profesional Pujol diteruskan oleh seorang lelaki kelahiran Macclesfield, Cheshire, United Kingdom, Paul Oldfield atau nama glamornya, ‘Mr Methane’. Ditanya sejak bila mengetahui mempunyai kelebihan luar biasa seperti Pujol, jejaka ini memberitahu bahawa dia mula menyedari hal aneh itu sewaktu berlatih yoga ketika usianya 15 tahun. Dia mula menjadi flatus profesional pada tahun 1991.
Di atas pentas, gayanya tidak ubah seperti seorang super hero. Sering mengenakan kostum ketat berwarna hijau terang, memakai jubah dan topeng berwarna ungu. Namun, misinya hanya satu iaitu menghiburkan orang ramai dengan bunyi-bunyian kentutnya, selain menyumpit dan memecahkan belon menggunakan angin yang dilepaskan menerusi bahagian duburnya.
FAKTA RINGKAS
· Kentut dalam bahasa perubatan disebut sebagai flatus.
· Flatus adalah gas atau udara dalam saluran cerna yang dikeluarkan melalui anus.
· Gas atau udara boleh ditemukan di usus besar dan usus kecil.
· Jumlah gas yang masuk atau terhasil di usus besar setiap hari rata-rata dalam kuantiti tujuh hingga sepuluh liter. Sedangkan jumlah gas yang dikeluarkan biasanya hanya sekitar 0.6 liter. Selebihnya diserap oleh mukosa usus.
Resurrectionists, si pencuri mayat
TAHUKAH anda suatu masa dulu, kegiatan mencuri mayat dianggap sebagai salah satu kerjaya yang begitu popular? Kalau sekarang, pekerjaan ini mungkin dirasakan agak pelik, menjijikkan dan satu jenayah besar. Tapi tidak pada zaman dahulu.
Pada sekitar abad ke-18, undang-undang awal Britain melihat kegiatan ini cuma kesalahan ringan dan bukannya perbuatan jenayah. Polis New Zealand juga tidak boleh bertindak menangkap pencuri mayat kerana ia tidak menyalahi undang-undang negara itu. Tapi dengan syarat, barang perhiasan atau pakaian si mati tidak boleh diambil bagi mengelakkan dikenakan tindakan.
Oleh kerana ia dianggap sebagai satu perkara biasa, maka ramai yang membuka perusahaan dan berkecimpung dalam karier ekstrem ini. Lazimnya, selain digelar sebagai perompak mayat, mereka yang mempraktikkan kerja gila ini juga dikenali dengan nama body snatching atau resurrectionists. Pelik, untuk tujuan apa sebenarnya kerja mengambil jasad orang yang sudah mati ini dilakukan?
Awalnya, ramai mengesyaki aktiviti ini dijalankan untuk tujuan pemujaan. Namun selepas disiasat, didapati mayat yang dicuri itu sebenarnya dijual kepada institut perubatan di seluruh dunia bagi kegunaan bahan spesimen ahli bedah dan pakar anatomi.
Sebelum Akta Anatomi dikuatkuasakan pada tahun 1832, para pelajar perubatan di Britain diwajibkan menjalani praktikal dengan melakukan pembedahan ke atas tubuh manusia. Ia adalah sebagai prasyarat untuk menjadi pakar bedah berlesen. Tapi undang-undang ketika itu cuma membenarkan kajian anatomi dilakukan ke atas tubuh penjenayah yang telah dijatuhi hukuman mati sahaja.
Dilaporkan, institut perubatan berlesen akan menerima lebih kurang 50 mayat setiap tahun. Tetapi bekalan tersebut masih belum mencukupi kerana permintaan ketika itu melebihi 500 mayat setahun. Akhirnya, sekitar abad ke-15, ahli anatomi mula menggunakan kaedah lain. Mereka mula keluar sendiri atau secara berkumpulan memburu mayat segar sebagai tuntutan pembelajaran dan kajian ilmiah. Kes pertama dilaporkan dilakukan oleh empat pelajar perubatan di Bologna, Itali pada tahun 1319. Sebaliknya, mereka yang tidak berani melakukan perkara itu pula hanya akan menempah mayat daripada pekerja resurrectionists – lelaki yang dibayar untuk menggali dan memberikan tubuh manusia.
Di Amerika Syarikat, resurrectionists bekerja dalam kumpulan yang kecil. Salah seorang daripada mereka akan ditugaskan menunggu di kawasan perkuburan untuk meninjau kalau-kalau ada majlis pengebumian. Selalunya, mereka lebih suka menyasarkan kuburan baru kerana tanah masih berkeadaan lembut, mudah untuk mereka melakukan kerja-kerja menggali serta mengeluarkan mayat dari kuburan kelak.
Operasi ini biasanya dijalankan pada waktu malam. Dengan berbekalkan penyodok tanah, mereka akan memulakan proses mengorek dari bahagian kepala kubur. Setelah itu keranda dipotong, badan mayat diikat menggunakan tali dan ditarik keluar.
Kain kafan mayat dibuka dan balutannya kemudian dimasukkan semula ke dalam tanah. Setelah itu kuburan yang dikorek tadi ditutup semula. Semua kotoran dibersihkan dengan penuh berhati-hati sehingga tidak terlihat satu pun kesan penggalian dilakukan. Selesai membersihkan kubur, mayat dimasukkan ke dalam guni, lalu dibawa ke institut perubatan untuk dijual.
Sementara itu, ada sebahagian ahli resurrectionists pula sanggup menggali terowong sejauh 20 meter sehingga memasuki kubur yang dikehendaki. Secara senyap-senyap, mayat ditarik keluar melalui terowong tanpa pengetahuan keluarga si mati. Ada kalanya, mereka beralih kepada kaedah lain dengan mengupah wanita sebagai mata-mata ketika menziarahi keluarga si mati. Wanita berkenaan akan bertindak mencuri mayat dari dalam keranda. Isi keranda itu seterusnya digantikan dengan benda berat bagi mengelakkan daripada perlakuan ini dapat dikesan oleh keluarga terbabit.
Sepanjang abad ke-18 dan 19, permintaan terhadap ‘barang basah’ atau mayat segar semakin tinggi. Keadaan ini membuatkan keluarga si mati lebih berhati-hati. Justeru beberapa usaha dilakukan bagi mematahkan kes kecurian mayat. Antaranya, keranda mayat yang dahulunya diperbuat daripada kayu telah digantikan dengan peti besi. Pagar besi juga dibina di sekeliling kubur dan dipasangkan alat penggera.
Manakala mereka yang kurang berkemampuan pula mengawasi kubur orang tersayang secara bergilir-gilir pada setiap malam selama tiga minggu. Selepas itu, mereka tidak berjaga lagi kerana mayat telah reput. Usaha ini bagaimanapun tidak mematahkan semangat ahli resurrectionists.
Sekitar tahun 1827 hingga 1878, beberapa pengamal kegiatan ini bertindak menukar teknik lain yang lebih ekstrem. Kumpulan resurrectionists yang paling terkenal di Edinburgh, Scotland, William Burke dan William Hare, misalnya semakin berani menculik dan membunuh orang awam. Kemudian mereka menjual mayat mangsa tadi dengan bayaran yang sangat tinggi.
Di China, pekerjaan seperti ini sangat sering dilakukan. Bagaimanapun ahli resurrectionists di sana kerap mencuri mayat perempuan. Mayat itu kemudian dijual kepada keluarga yang baru saja kematian anak lelaki bujang. Mereka percaya bahawa sekiranya seorang pemuda yang meninggal dunia sebelum sempat berkahwin, mayat tersebut harus dikuburkan bersama seorang wanita. Jika tidak, jiwa si mati akan selalu kesepian.
Tindakan melampau ini bagaimanapun telah mendapat protes daripada orang awam. Atas kesalahan itu, akhirnya beberapa pengamal resurrectionists, doktor dan pelajar perubatan ditangkap. Semenjak itu, undang-undang dunia telah mengharamkan pekerjaan menjual mayat untuk tujuan kajian perubatan.
Thursday
Saintis Dedah Kenapa Struktur Stonehenge dibina
Seorang saintis AS, Steven Waller percaya ilusi audio mencetuskan inspirasi kepada masyarakat purba untuk membina struktur batu Stonehenge di England.
Diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, bulatan bongkah batu berusia 5,000 tahun yang terletak di Britain itu menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung tujuan struktur berkenaan dibina. Antara lain ia didakwa berfungsi sebagai sebuah balai cerap kuno, kuil matahari atau tempat penyembahan.
Namun, kata Waller, sejenis kesan gelombang bunyi yang diketahui para saintis pada masa kini tetapi menjadi misteri kepada manusia kuno, menyebabkan mereka membina Stonehenge. Kesan tersebut dikenali sebagai interferens akustik.
Ia berlaku apabila dua sumber bunyi seperti dua peniup alat muzik beg paip memainkan nota yang sama pada masa yang sama tetapi di lokasi berbeza di sebuah kawasan lapang. Apabila seseorang melalui beberapa sudut di kawasan lapang tersebut, dia akan mendengar kesan bunyi yang amat perlahan dan hampir tidak kedengaran disebabkan gelombang bunyi kedua-dua beg paip tersebut berlanggar dan melantun.
“Seolah-olah terdapat bongkah misteri yang menghalang bunyi tersebut. Begitu juga dengan bunyi guruh, dua bunyi guruh serentak bukan akan menjadi lebih kuat. Fenomena ini sukar diterangkan pada zaman dahulu,” kata Waller.
Menurutnya, masyarakat dahulu kala yang merasai kesan itu bertindak membina struktur batu Stonehenge bagi menggambarkan fenomena tersebut. Stonehenge terdiri daripada bulatan batu yang mengandungi 17 bongkah batu menegak seberat sehingga 45 tan. Bulatan batu itu ditutup dengan enam batu melintang yang didirikan menghala ke arah matahari terbit pada Solstis musim panas di daerah Wiltshire, England.
Gambar : http://realtravel.com/dp-35095-0-stonehenge_photos



