Sunday

Seorang Guru Cemerlang Berkongsi 5 Kunci Kekuatan Dan Kejayaan Sistem Pendidikan Korea

Artikel ini ditulis oleh Cikgu Hailmi 

Perkara yang saya sering ditanya mengenai sistem pendidikan di Korea adalah apakah rahsia atau ramuan khas yang menjadi kekuatan kepada kejayaan sistem pendidikan di Korea. Ceramah daripada Dr Namgi Park, seorang profesor daripada Gwangju National University of Education sedikit sebanyak memberi input berguna kepada saya. Saya pernah kongsikan apa yang dikatakan oleh beliau, tetapi kali ini lebih lengkap dengan dapatan daripada pemerhatian saya juga sepanjang berada di Korea.
korea-01
5 KUNCI KEKUATAN DAN KEJAYAAN PENDIDIKAN DI KOREA. CIKGU HAILMI

5 Kunci Kekuatan dan Kejayaan Pendidikan di Korea

  1. Guru mengajar semua subjek
    Ya! Homeroom teacher atau pun guru kelas bagi sekolah rendah di Korea (elementary school) berkebolehan mengajar semua subjek. Tujuan pendedahan kepada semua subjek ini adalah bagi tujuan membolehkan para guru mengintegrasikan pembelajaran dalam setiap subjek, terutamanya jika ada yang berkaitan.
    korea-02
    GURU SEKOLAH RENDAH DI KOREA MAMPU MENGAJAR SEMUA SUBJEK. CIKGU HAILMI
    Seperti yang dikehendaki dalam KBSM dahulu, penggabungjalinan antara subjek adalah sangat penting dan boleh membantu pelajar untuk belajar dan faham dengan lebih mudah. Malah pemahaman ini akan turut memudahkan lagi pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kelas kepada kehidupan seharian.
    Cuba bayangkan dengan syarat yang dikenakan ini, maka untuk menjadi guru di Korea, anda mestilah merupakan seorang yang sangat bijak dan kuat berusaha. Apatah lagi untuk mempelajari dan menguasai 10 subjek yang berbeza! Maka inilah rahsia yang menyebabkan kenapa guru di Korea betul-betul sangat berkualiti.
  2. Teacher Rotation System
    Sistem pendidikan di Korea juga mengamalkan sistem pertukaran guru (re-deployment) bagi setiap 5 tahun. Alasan mereka adalah bagi tujuan membolehkan kesemua pelajar di seluruh Korea tanpa mengira tempat, status atau latar belakang turut mendapat pendidikan daripada guru yang hebat dan berkualiti.
    Saya juga sangat bersetuju apabila mereka sangat menekankan kepada hak pelajar di mana-mana sekolah untuk mendapatkan guru yang hebat dan cemerlang. Jadi tidak akan wujud, hanya sekolah tertentu yang mendapat segala keuntungan hasil daripada guru-guru tersebut. Semua pelajar dan sekolah pun akan merasa.
    korea-03
    PERSEMBAHAN MUZIKAL UNTUK OPENING CEREMONY BAGI DAEGU ARTS IN EDUCATION FESTIVAL 2015. CIKGU HAILMI
    Sistem rotation ini juga secara tak langsung akan meningkatkan kualiti guru dengan membolehkan mereka mendapat pengalaman yang banyak daripada sekolah yang pelbagai dan daripada murid yang bermacam-macam. Lain murid, lain ragamnya. Lain sekolah, lain juga persekitarannya.
    Selain itu, ini juga akan menyebabkan guru tidak berada di 'comfort zone' dan dapat mengelakkan daripada mana-mana guru rasa selesa menjadi senior di sesebuah sekolah. Maka, barulah guru tersebut menjadi mantap dan juga akan sentiasa produktif bekerja. Tidaklah hanya selesa pada satu tempat sahaja.
    Sisi lain juga membolehkan guru dan sekolah membina rangkaian komunikasi yang lebih luas. Jaringan kenalan antara guru dan sekolah akan membolehkan kolaborasi di peringkat lebih tinggi dapat dijalankan dengan lebih mudah!
    Bagi guru yang cemerlang hasil kerjanya, saya dimaklumkan pihak sekolah boleh 'menahan' guru tersebut untuk terus berada di sekolah tersebut, sehingga 7 tahun. Tambahan 2 tahun berbanding guru biasa. Dan juga sistemrotation ini juga hanyalah terhad kepada sekolah kerajaan sahaja. Manakala, sekolah swasta bebas mempunyai sistem mereka masing-masing.
  3. Guru Berkualiti Tinggi. Top 5%
    Kerjaya guru di Korea memang merupakan kerjaya yang menjadi rebutan para pelajar cemerlang di sini. Atas persaingan yang sangat tinggi, maka pemilihan guru adalah daripada kalangan pelajar lepasan peperiksaan awam yang mendapat keputusan yang paling cemerlang!
    Faktor utama tarikan pelajar cemerlang untuk menjadi guru adalah kerana:
    a. Gaji yang tinggi
    Gaji cikgu di Korea merupakan antara gaji yang tertinggi bagi pekerjaan di Korea. Dengan posting guru baharu nya yang mencecah RM10,000 jika di Malaysia, maka tentu lah ramai pelajar yang sangat mendambakan impian untuk menjadi guru. Gaji bekerja di Syarikat Samsung adalah merupakan gaji tertinggi di Korea.
    b. Elaun
    Selain daripada gaji yang tinggi, mereka juga diberikan beberapa keistimewaan elaun lain. Bagi guru yang menjawat jawatan Homeroom Teacher (guru kelas), elaun tambahan sebanyak W100,000 (RM350) bagi setiap bulan.
    korea-04
    ANTARA TUGAS HOME ROOM TEACHER. CIKGU HAILMI
    Manakala bagi guru yang bekerja lebih masa (selepas jam 5 petang/ Sabtu/ Ahad), mereka juga diberi elaun W10,000 (RM35) bagi setiap satu jam. Maksimum waktu kerja lebih masa adalah 4 jam untuk sehari. Dan elaun bekerja lebih masa ini, akan dibayar pada gaji setiap hujung bulan.
    c. Bonus Tahunan
    Pada setiap hujung tahun, guru-guru juga akan menerima bonus tahunan. Ianya berbeza mengikut prestasi kerja masing-masing. Penilaian prestasi adalah mengikut kriteria yang ditetapkan, termasuk bidang kerja, pencapaian murid, waktu bekerja (+ over time) dan lain-lain lagi.
    Bagi guru yang mendapat penilaian cemerlang, bonus tahunan sebanyak W 2,000,000 (RM7500) akan diberikan. Bagi yang sederhana, sebanyak W 1,500,000 (RM5600) dan bagi prestasi Baik, sebanyak W 1,000,000 (RM3500).
    d. Cuti
    Budaya kerja Korea yang sangat pantas bergerak dan sentiasa sibuk juga menyebabkan kerjaya cikgu sangat menjadi pilihan di Korea. Walaupun Syarikat Samsung menawarkan gaji yang lebih lumayan, tetapi kerjaya guru masih menjadi pilihan kerana faktor tarikan cuti yang jauh lebih panjang. 2 bulan cuti sewaktu musim sejuk (winter). Kalau tak salah saya, guru Korea juga masih perlu hadir ke sekolah pada waktu cuti, lebih kurang untuk 2 minggu.
    e. Pencen
    Satu lagi tarikan kenapa ramai pelajar Korea memilih untuk menjadi guru adalah disebabkan imbuhan yang lebih meyakinkan selepas saat persaraan. Bagi penduduk Korea, jaminan selepas masa persaraan semasa meniti usia tua adalah sangat penting dan diutamakan.
  4. Peranan Ibubapa Korea
    Disebabkan gaya hidup yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk Korea, maka ibubapa semakin berlumba-lumba memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Tuntutan untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, bagi menjamin peluang ke universiti yang lebih cerah dan mendapat kerjaya yang menjamin masa depan.
    Ibubapa Korea memang sanggup berhabis duit, tenaga dan masa dalam memastikan anak mereka mendapat pendidikan terbaik. Kebiasaannya, pelajar akan mengikuti tuisyen selepas tamat waktu persekolahan (sekolah rendah pada jam 2 petang, sekolah menengah pada jam 5 petang). Macam-macam jenis tuisyen. Ada yang tuisyen akademik, ada yang tuisyen muzik, kemahiran komputer dan bermacam-macam lagi.
    korea-05
    GURU PERLU BERSEDIA UNTUK OPEN CLASS PADA SETIAP BULAN. CIKGU HAILMI
    Malah semasa lawatan saya di sekolah Hosan High School, sebuah bilik khas disediakan untuk pelajar belajar selepas waktu sekolah dan dijaga oleh guru dan ibubapa secara bergilir-gilir. Nampak tak, ibubapa Korea bukan setakat mampu sediakan duit, tetapi juga MASA dan TENAGA untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka.
    Ibubapa juga dibenarkan untuk melawat sekolah semasa hari OPEN CLASS. Semasa hari ini, semua guru perlu bersedia dengan sebaik mungkin kerana sesiapa sahaja boleh masuk ke kelas mereka untuk mencerap! Kebiasaannya adalah diadakan sebulan sekali. Bagi OPEN CLASS skala besar, pegawai pelajaran dari pejabat akan turun dan memantau. Proses ini bagi 1 kali dalam 1 semester.
    Tapi saya lebih suka melihat kepada sejarah dan juga kebudayaan Korea sendiri jika mengupas mengenai isu peranan yang dimainkan oleh ibubapa. Jika dilihat dari sudut sejarah, peradaban Korea sudah telah lama wujud sistem peperiksaan dan juga tuntutan untuk mendapat masa depan yang cemerlang. Anak yang mendapat pekerjaan yang baik, akan menjadi tunjang utama kejayaan dan kesenangan kepada seluruh ahli keluarga. Jadi, budaya yang telah wujud bertahun-tahun ini telah sebati dengan masyarakat Korea.
    korea-06
    PENGURUSAN PEPERIKSAAN PERINGKAT SEKOLAH DI KOREA. CIKGU HAILMI
    Apatah lagi suatu ketika dahulu Korea merupakan sebuah negara yang sangat miskin dan juga sibuk dengan perang saudara. Maka, kesukaran dan kepayahan ini mendorong mereka untuk belajar dan bekerja dengan sekuat mungkin untuk menjamin survival hidup mereka.
    Dan harus kita tahu, negara Korea berubah menjadi maju dengan sangat pantas. Hanya mengambil masa 2 keturunan sahaja, iaitu lebih kurang dalam tempoh 50 tahun untuk merubah sebuah negara yang membangun kepada negara yang maju seperti sekarang. Terima kasih kepada Presiden Korea dahulu, Park Chung Hee yang banyak membawa pembangunan dan pemodenan Korea.
  5. Motivasi Pelajar
    Atas desakan hidup yang boleh dikira melampau juga untuk berjaya di Korea ini, maka pelajar juga sudah dididik untuk mempunyai semangat berdikari yang sangat tinggi dalam menuntut ilmu. Mereka tahu dan sedar, jika mereka malas berusaha, mereka akan hidup susah pada kemudian hari.
    korea-07
    GURU DAN PELAJAR DI KOREA SANGAT BEKERJA KERAS. CIKGU HAILMI
    Maka untuk itu, pelajar-pelajar Korea sangat berusaha keras untuk berjaya. Pelajar-pelajar Korea sanggup untuk masih berada di sekolah sekalipun jam sudah menunjukkan 9 malam semata-mata mahu belajar kelas tambahan dengan guru. Yang balik awal pada jam 5 petang pula biasanya akan terus ke kelas bagi aktiviti belajar kemahiran, seperti muzik, menari, komputer dan lain-lain.
    Dan motivasi ini juga dibantu oleh dorongan dan sokongan daripada ibubapa dan guru. Ibubapa Korea sangat memberi tumpuan pada pembelajaran anak-anak mereka. Guru juga sanggup bekerja sehingga ke malam (Ya! Saya sendiri yang saksikan) semata-mata untuk mengajar anak-anak murid ini.
    Pendapat saya, untuk kita mempunyai sistem pendidikan yang baik, ianya perlu disokong kuat pihak kementerian, yang disokong kuat oleh guru, yang disokong kuat oleh murid, yang disokong kuat oleh ibubapa, yang disokong kuat oleh masyarakat, yang disokong kuat oleh pihak kementerian. Sokong menyokong antara satu sama lain. Boleh faham? hu hu hu..
    Usaha ini tidak boleh hanya dimainkan oleh satu pihak. Ianya adalah kolaborasi sebanyak mungkin pihak dengan sesungguh azam mahu memperbaiki kelemahan diri. Bukan hanya menuding jari kepada satu-satu pihak. Sebaliknya bergerak bersama-sama. Dan yang paling penting adalah memastikan usaha murni untuk memperbaiki kelemahan itu secara beterusan tanpa sebarang kepentingan.
    Jom sama-sama kita sebarkan lagi aura positif dalam kalangan warga pendidikan. Selamat maju saya ucapkan untuk saya, dan juga rakan-rakan yang lain juga!

Cikgu Hailmi adalah merupakan salah seorang guru di Malaysia yang merubah lanskap pendidikan negara. Atas usaha sendiri, beliau sering berkongsi eksperimen sains melalui saluran Youtube beliau, Cikgu Hailmi.
Cikgu Hailmi kini berada di Daegu Girls Commercial High School, Korea bagi Program Pertukaran Guru Malaysia-Korea untuk 3 bulan, di bawah anjuran APCEIU-UNESCO dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi yang mahu mengikuti perjalanan Cikgu Hailmi di Korea, boleh follow di blog, Cikguhailmi.com dan juga vlog harian beliau "80 Days in Korea" di Youtube.


No comments:

Post a Comment

ヅ komen anda amat dialu-alukan
๏̯͡๏ tak puas hati sila komen
(>‿♥) jika terdapat kesalahan,sila tegur
''◠‿◠)Sekian,terima kasih

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...