Friday
Senaman 7 minit
Ramai mengelak melakukan senaman disebabkan
kekangan waktu serta kesibukan di pejabat sekali gus memberi alasan
paling mudah untuk tidak bersenam. Namun hakikatnya bagi yang mengetahui
faedah senaman serta teknik digunakan, dengan hanya meluangkan masa
tujuh minit anda berpeluang mendapat hampir 100 peratus faedah sama
seperti melakukan senaman 30 minit atau satu jam.
Hal ini dibuktikan menerusi sebuah artikel yang terkandung dalam
jurnal kesihatan yang dikeluarkan oleh Kolej Kesihatan Perubatan Sukan
Amerika keluaran Mei-Jun 2013 yang mencadangkan satu rejim senaman
selama tujuh minit berpandukan kajian khusus dalam bidang kecergasan
terkini. Mereka menggelarkan senaman itu sebagai Senaman Saintifik 7
Minit. Menerusi kajian dalam bidang kecergasan, ia dikatakan menepati standard terkini sebagai pergerakan berintensiti tinggi.
“Ini kerana setiap tindakan atau pergerakan mempunyai penjelasan saintifik dan mempunyai keberkesanannya. Malah ia menepati standard terkini dan bertepatan ciri-ciri latihan interval berintensiti tinggi,” katanya.
Secara asasnya, setiap senaman dalam rejim ini harus dilakukan dengan pantas pada kadar intensiti tinggi untuk tempoh 30 saat, kemudian diselangselikan dengan 10 saat masa rehat dan diulang pergerakan yang sama.
Setiap senaman mempunyai sebab tertentu ia disusun mengikut turutan yang sudah ditetapkan.
Sebagai contoh jika diteliti, semua senaman disusun secara berselang-seli di antara senaman yang mensasarkan otot pada bahagian atas badan dan otot bahagian bawah badan.
“Susunan 12 senaman ini bukanlah secara rawak, sebaliknya sengaja disusun sedemikian. Ini sangat penting kerana dengan cara ini setiap otot akan mendapat kesempatan untuk mengejar kembali nafas tatkala otot bahagian satu lagi sedang dikerjakan,” jelasnya.
Secara amnya, pergerakan untuk senaman bermula dengan melompat dengan kedua-dua tangan di atas (jumping jacks) yang mensasarkan keseluruhan badan diikuti dengan duduk dan bangun di atas kerusi yang mengkhususkan kepada bahagian atas badan.
“Untuk kesan yang jelas pada bahagian bawah badan, senaman tekan tubi pergerakan paling berkesan manakala pergerakan duduk dan bangun dilihat sesuai bagi mereka yang ingin mendapatkan perut yang kempis,” katanya.
Dalam hal ini, Senaman Saintifik 7 Minit tidak perlu dilakukan di gimnasium kerana ia boleh dibuat di mana saja sama ada di rumah atau taman permainan. Selain menggunakan beban badan, penggunaan kerusi dengan cara naik dan turun menggunakan kedua-dua kaki penting kerana ia menggerakkan keseluruhan badan. Begitu juga dengan lari setempat dengan mengangkat tinggi kedua-dua kaki juga memberikan kesan maksimum kepada badan.
“Secara amnya sesiapa juga boleh melakukan senaman tujuh minit kerana selain pergerakan yang mudah dan biasa dilakukan, ia boleh dilakukan di mana saja tanpa mengeluarkan belanja yang besar. Jika dilakukan secara bersungguh-sungguh dan konsisten setiap hari, anda pasti dapat melihat perbezaannya,” ujar Redza yang turut mempunyai sijil dalam bidang Nutrisi, Kesihatan dan Kawalan Penyakit daripada Universiti California, San Francisco.
Oleh Siti Zarinah Sahib
No comments:
Post a Comment
ヅ komen anda amat dialu-alukan
๏̯͡๏ tak puas hati sila komen
(>‿♥) jika terdapat kesalahan,sila tegur
''◠‿◠)Sekian,terima kasih